utama

Tidak bermusuh dengan sesiapa

Oleh Ramlah Zainal

BAKATNYA mula digilap menerusi program Pencarian Hero Remaja pada 2012.

Ternyata tuah menyebelahi anak kelahiran Perlis ini apabila dilamar untuk membawa watak hero dalam drama bersiri popular Mr Grey terbitan Global Station yang ditayangkan April lalu.

Baru dua tahun berlakon, nama Fendy Bakry, 30, terus melonjak berikutan impak watak Mr Grey lakonannya itu.

Namun, baru saja mengecapi populariti, Fendy terpaksa berehat selama tiga bulan kerana menderita penyakit misteri yang dihidapinya pada Mei lalu.

Pemilik nama sebenar Mohd Affandi Nor Bakri ini mengakui penyakit misteri yang dihidapi adalah ujian paling berat daripada Allah SWT sepanjang berkecimpung dalam bidang seni.

“Alhamdulillah, saya sudah sihat sepenuhnya. Saya memang fobia dengan penyakit misteri itu dan berdoa semoga ia tidak berulang. Saya juga tidak mahu menuduh sembarangan berkaitan penyakit itu.

“Maklumlah, saya baru dua tahun dalam bidang seni dan percaya tidak bermusuh dengan sesiapa pun,” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan kesihatannya, Fendy berkata, dia masih membuat rawatan susulan sebagai pesakit luar di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

“Saya masih menunggu keputusan laporan ujian darah yang dilakukan sebelum ini kerana doktor belum dapat mengesahkan penyakit dihidapi. Ia akan mengambil tempoh beberapa bulan juga.

“Doktor belum dapat mengesan punca sebenar penyakit saya ketika dimasukkan ke hospital sebelum ini. Pada masa sama, saya sudah berhenti daripada membuat rawatan alternatif kerana kesihatan sudah pulih,” katanya.

Berkat doa dan sokongan keluarga serta peminat setia, Fendy kini sudah bersedia untuk kembali aktif dalam bidang lakonan.

Menurut Fendy, dia sangat terharu dengan sokongan peminat setianya yang tidak jemu menyokong dari belakang.

“Jika nak diikutkan, selepas drama Mr Grey, saya menerima banyak tawaran berlakon tetapi terpaksa ditolak kerana bimbang tahap kesihatan ketika itu.

“Namun, sebaik saja pulih dari sakit, saya juga menjayakan program bersama peminat di Singapura pada 13 Julai lalu.

“Saya juga sudah mula menghadiri pelbagai acara dan majlis dalam bidang hiburan,” katanya.

Mengenai projek drama baru pula, kata Fendy yang bernaung di bawah pengurusan Prokuya Studios, dia juga sudah menerima beberapa tawaran projek drama terbitan Astro.

“Terbaru, saya terbabit dengan penggambaran telemovie #KahwinKahwin untuk saluran Astro Citra. Selepas sambutan Aidiladha pula, saya akan ke lokasi penggambaran telemovie #30HariMembunuhCinta dan menyusul selepas itu drama bersiri Astro Mega Drama yang juga dari adaptasi novel #KanKuKejarCintaKamu,” katanya.

Walaupun namanya sudah dikenali ramai, Fendy menganggap dirinya masih dalam proses pembelajaran ilmu lakonan.

“Maklumlah, saya bermula dari bawah dan pernah dibayar RM20 sebagai pelakon tambahan ketika mula mencari tapak dalam bidang lakonan.

“Saya juga pernah menimba ilmu dengan Persatuan Teater Perlis dulu. Oleh itu, saya tidak kisah diberikan apa saja watak termasuk pembantu dan antagonis kerana mahu mempelbagaikan karakter sedia ada,” katanya.

Antara drama lakonannya sebelum ini ialah drama Kerna Syurga Bukan Percuma dan telefilem Teksi Love berganding dengan pelakon jelita Mira Filzah.

Disiarkan pada: August 18, 2018 @ 3:51am
d