utama

Dabai mini nasi panas

Oleh Harun Yahya

Sibu: Kemunculan spesies baru ‘dabai mini’ mencuri perhatian pengunjung Pasar Central Sibu, di sini, terutama dalam kalangan penggemar buah eksotik itu.

Enak dinikmati bersama kicap manis dihiris pula cili padi, buah berkenaan kebiasaannya dijadikan ulam bersama nasi panas yang cukup menambat selera.

Jika buah dabai biasa sebesar saiz ibu jari tangan lelaki dewasa mencecah harga antara RM25 hingga RM35 sekilogram, dabai mini dijual pada harga RM40 sekilogram.

Peniaga Missrose Unyi Alo, 49, berkata buah itu yang dinamakan dabai enseluai dijual pada harga tinggi kerana spesies berkenaan sukar dan jarang ditemui.

“Sejak 12 tahun menjadi penjual dabai, ini kali pertama saya menemui ‘dabai enseluai’. Difahamkan, pokoknya amat jarang berbuah.

“Dari segi rasanya, ia lebih berlemak, dengan teksturnya lebih kenyal berbanding dabai biasa,” katanya.

Katanya, dia berani menjual dabai mini pada harga tinggi kerana kualiti dan rasanya yang mampu menarik perhatian pelanggan, selain keunikan bentuknya.

“Saya turut menyediakan satu bekas dabai ini yang sudah siap direndam air panas dan dicampur kicap untuk dicuba orang ramai,” katanya.

Missrose berkata, dia memperoleh bekalan dabai berkenaan dari Song yang terletak kira-kira dua jam perjalanan menaiki bot ekspres dari Sibu.

Disiarkan pada: August 18, 2018 @ 4:05am
d