utama

Penerjun ekstrem tertua negara

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Masih kuat, mempunyai impian dan tetap bersemangat untuk mengharumkan nama negara walaupun sudah berada di usia emas.

Itu yang boleh digambarkan semangat seorang lelaki berusia 64 tahun yang pernah menjadi anggota pasukan elit, Grup Gerak Khas (GGK) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk membawa nama negara menerusi platform sukan ekstrem iaitu terjunan BASE (Building, Antenna, Span and Earth).

Tidak ramai warga emas seusianya masih bersemangat untuk membawa nama negara di peringkat antarabangsa dan kebiasaannya, golongan berkenaan lebih fokus kepada kehidupan seharian dan kurang memikirkan hal lain.

Bagaimanapun, itu bukan senario bagi Jamaluddin Ismail yang masih mempunyai impian membawa nama negara di persada antarabangsa jika impiannya untuk terjun dari Menara Burj Khalifa, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dapat direalisasikan.

Jamaluddin berkata, jika dia mampu untuk terjun dari menara berkenaan, pastinya dia adalah lelaki tertua selaku penerjun BASE, sekali gus mendapat pengiktirafan antarabangsa.

“Bahaya itu hidup saya. Bukan saya ingin bangga diri atau sebaliknya, namun sejak dari muda lagi saya sudah terdedah dengan bermacam bahaya sehingga saya jatuh cinta dengan sukan terjunan BASE ini.

“Memang saya akui, rindu untuk bertugas menjadi anggota GGK namun saya perlu akur bahawa kini saya hanya seorang warga emas dan sudah berpencen daripada penugasan berkenaan.

“Bagaimanapun, rindu saya dalam untuk menjadi anggota elit sedikit terubat dengan minat sukan terjunan BASE ini yang sememangnya bahaya jika kita tidak bersiap sedia,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui.

Menurutnya, keberaniannya diperoleh hasil latihan tanpa henti selama berkhidmat lebih satu dekad ketika bergelar anggota elit, GGK dan ia juga banyak mendisiplinkan dirinya.

Beliau yang pernah menjadi anggota jurutera tempur bagi grup elit ATM berkenaan banyak memupuknya mengenal erti keberanian selain tawakal kepada Tuhan.

Jamaluddin yang juga pemegang Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori penerjun sukan ekstrem terjunan bebas paling tua di Malaysia berkata, dia akan meneruskan cita-citanya untuk melakukan terjunan dari menara berkenaan.

“Impian saya ingin terjun daripada puncak menara di Dubai itu dan jika saya dapat capai, Insya-Allah, saya akan dinobatkan sebagai penerjun pelantar (BASE) paling tua dalam dunia.

“Bagaimanapun, saya masih berusaha untuk mencapai impian berkenaan termasuk mengumpul wang serta mencari tajaan. Ia bukan saja pencapaian diri saya sendiri sebaliknya mampu untuk mengharumkan nama Malaysia.

“Sebelum ini, saya banyak melakukan terjunan di bangunan pencakar langit di Malaysia termasuk di Menara Kuala Lumpur. Saya yakin hasil usaha dan latihan tanpa henti dalam arena terjunan BASE ini, saya mampu untuk lakukan di Menara Burj Khalifa,” katanya.

Beliau yang mesra disapa dengan panggilan Pak Din berkata, sepanjang pembabitan dalam terjunan BASE lebih 38 tahun itu mengajarnya banyak perkara termasuk pentingnya bersiap sedia dengan segala kemungkinan.

Menurutnya, dia sudah melakukan terjunan lebih 3,000 kali dan mengakui bahawa setiap terjunan mempunyai risiko tersendiri jika lalai dengan aspek keselamatan.

“Terjunan pelantar ini berbeza dengan kita terjun di udara. Jika kita terjun di udara, jarak dan masa untuk bukaan payung itu lebih lama tetapi terjunan BASE ini jarak dan masa singkat.

“Jika berlaku kesilapan dalam persiapan, pasti maut akan menanti. Itu risiko paling besar dalam sukan ekstrem jenis ini. Selain daripada persiapan rapi, hanya tawakal kepada Tuhan saja untuk keselamatan,” katanya.

Ditanya berhubung sokongan keluarga dan isteri, Jamaluddin berkata, semua ahli keluarga menyokongnya walaupun mereka bimbang setiap kali dia ingin melakukan terjunan.

“Namun bagi saya, ajal itu pasti. Jika takdir sudah menentukan kita menemui ajal, ia pasti akan berlaku. Apa yang boleh kita lakukan adalah tawakal dan melakukan persiapan rapi,” katanya.

Disiarkan pada: August 18, 2018 @ 4:10am
d