utama

Bukan lagi 'kakak Aiman'

Oleh Norhayati Nordin

Bakat nyanyian Fara Hazel, 22, mula dikesan pada usia tiga tahun. Namun, rezeki lebih awal berpihak kepada adiknya, Aiman Tino, 20.

Malah, populariti besar dimiliki Aiman nyata sangat membantu kakaknya memahat nama dalam bidang nyanyian.

Walaupun masih hijau, Fara terus memacu laju perjalanan kerjaya nyanyiannya agar bertapak lebih kukuh.

Bagi gadis ramah ini, dia perlu pertingkatkan usaha untuk membuktikan bakat dimiliki tanpa terus ditenggelami kejayaan adiknya.

“Saya bangga dengan kejayaan Aiman, namun sampai bila saya harus dikaitkan dengan nama adik sendiri.

“Walaupun ia bukan perkara salah, saya kurang selesa jika terus membayangi Aiman,” katanya.

Menurut pemilik nama sebenar Nurfaraazira Yusri ini, tidak mudah untuk dia sisihkan diri daripada pengaruh populariti Aiman.

“Sukar untuk saya keluar daripada impak Aiman sebenarnya. Namun, kini usaha mula menampakkan hasil. Boleh dikatakan, nama Fara Hazel kini sudah mampu berdiri sendiri tanpa berpaut dengan Aiman lagi.

“Ini kerana, kebanyakan penyokong saya sudah sedia maklum dengan bakat nyanyian diketengahkan,” katanya.

Kini muncul dengan single Ku Pasrah, si cantik yang mesra dengan sapaan Fara ini berkata, fokusnya sekarang tertumpu kepada promosi video muzik.

“Saya cuba mengatur beberapa perancangan untuk merancakkan lagi publisiti single Ku Pasrah kepada pendengar.

“Semoga single ini mendapat perhatian, apatah lagi ia lagu yang bagus dan kena dengan vokal saya,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan dia tidak boleh menyanyi, Fara menyangkalnya dengan tegas.

“Jika betullah saya tidak boleh menyanyi seperti didakwa, kenapa sudah ada tiga single dihasilkan? Biarlah apa orang nak cakap kerana saya tidak pernah ambil peduli tanggapan yang negatif.

“Saya akan terus berusaha memperbaiki kelemahan diri kerana sedar masih banyak yang perlu dipelajari,” katanya.

Mengakui pengalaman banyak membantunya untuk bersikap matang, Fara juga enggan cepat melatah.

“Saya sentiasa positifkan diri dan tenang. Apatah lagi, ibu bapa dan keluarga memberi banyak kata-kata semangat.

“Kalau saya sendiri tidak kuat menghadapi cakap-cakap orang, tidak harus membabitkan diri dalam karier seni.

“Oleh itu, saya pastikan diri sentiasa kuat dan apa saja cakap orang dijadikan sebagai cabaran untuk berjaya,” katanya.

Pernah juga dikaitkan dengan gosip cinta, Fara mengakui silapnya yang begitu teruja untuk berkasih ketika itu.

Katanya, dia tidak akan sekali-kali mengulangi kesilapan itu kerana sedar akhirnya ia memakan diri sendiri.

Tak baca komen negatif netizen

Menyedari betapa besarnya pengaruh media sosial pada masa kini, Fara akur ada baik dan buruk lantas membuatkannya berhati-hati.

Katanya, bagi memastikan dia tidak berasa sedih, maka lebih baik dia tidak baca komen negatif ditulis netizen.

“Saya peka dengan setiap komen netizen pada medium media sosial. Namun, tidak pernah baca komen yang negatif.

“Biasanya, saya abaikan saja komen itu dan tidak membuangnya.

“Biarlah, mereka (netizen) nak komen apa. Itu hak mereka tetapi saya tidak baca. Jadi, setakat ini, saya tidak pernah rasa sakit hati pun.

“Pada saya, lebih baik tidak membaca dan melayannya. Oleh itu, tidaklah ia menimbulkan sebarang isu,” katanya.

Penyanyi yang popular dengan single Setiaku Pasti ini juga tidak menutup ruangan komen.

“Saya tidak pernah terfikir mahu menutup ruangan komen dalam media sosial bagi mengelak dikecam netizen. Bagi saya, ruangan komen itu tidak perlu ditutup. Cukuplah jika ia ditangani dengan cara yang betul.

“Lagipun, tidak semua komen ditulis itu bersifat negatif. Ada saja komen yang baik dan menguatkan semangat,” katanya.

Apapun, Fara kini lebih teruja menunggu peluang untuk kembangkan bakatnya dalam bidang pengacaraan.

Jelasnya, dia mendapat tawaran untuk menjadi pengacara program ‘travelog’ tetapi masih pada peringkat perbincangan.

Disiarkan pada: August 19, 2018 @ 4:26am
d