utama

To'ek peneman Umi

Oleh Nazirul Roselan

KEMATIAN suami pada awal tahun lalu akibat demam panas menyebabkan wanita Orang Asli dari suku Batek Negrito bukan saja kehilangan tempat bergantung tetapi teman setia.

Namun, sejak tiga bulan lalu, kehidupan Umi, 37, yang menetap di pinggir hutan Taman Negara Kuala Tahan dekat Jerantut berubah apabila diberi seekor burung Enggang Gunung oleh abang saudaranya.

Umi berkata, burung diberi nama To’ek itu ditemui abang saudaranya ketika memburu dan ia dipercayai terjatuh dari sarang.

“To’ek menjadi teman setia, saya dapat ia ketika masih kecil dan belum ada bulu. Saya jaga dan ia makan apa yang saya makan,” katanya kepada NSTP, baru-baru ini.

Enggang Gunung atau nama saintifiknya ‘Wreathed Hornbill’ adalah antara spesies enggang yang ada di hutan hujan tropika dan sukar ditemui kerana lazimnya terbang pada ketinggian 1,830 meter daripada paras laut.

Ia juga adalah antara spesies hidupan liar dilindungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Umi berkata, kini ‘anak angkatnya’ itu dibiarkan terbang bebas selepas ia mula pandai terbang dan akan pulang apabila lapar.

“Saya biar ia terbang ke mana saja, kalau lapar To’ek balik ke rumah dan mengeluarkan bunyi (tanda lapar). Saya bagi makan nasi atau pisang.

“Biarlah ia hendak masuk hutan bila sudah besar, rumahnya pun di sana. Saya jaga sebab dia kecil, kalau tidak beri makan lapar pula nanti,” katanya.

Disiarkan pada: August 19, 2018 @ 2:26pm
d