utama

'Itu bukan gimik...' - Daiyan Trisha

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PENYANYI dan pelakon, Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin, 25, tidak menganggap gambar perkahwinan yang dikongsikan di Instagram miliknya sebagai gimik untuk melancarkan single terbarunya, Langit yang mula dilancarkan hari ini.

Menurut pelakon drama Sejuta Rasa Buat Adelia itu lagi, dia menganggap itu sebagai ‘teaser’ sebelum lagu itu diperkenalkan kepada peminat-peminatnya.

“Saya tak boleh nafikan persepsi orang ramai yang mungkin ada yang menganggap itu sebagai gimik.

“Bagi saya, itu adalah strategi dan gambar saya berpakaian pengantin itu adalah untuk disesuaikan dengan konsep lagu baru ini,” katanya kepada Harian Metro.

Daiyan juga tidak menyangka gurauannya dengan penyampai radio, Radin Amir Effendi mengenai perkahwinan dianggap serius.

“Sebelum ini, Radin ada menghubungi saya dan menemubual secara langsung di radio Era mengenai gambar gambar pengantin di Instagram saya.

“Dalam temu bual itu, saya memang ada bergurau dengannya mengenai tarikh perkahwinan saya iaitu 19 Ogos seperti yang saya tulis di Instagram.

“Tak sangka pula ada pihak yang menganggap perbualan sesama rakan itu adalah serius dan saya benar-benar akan berkahwin pada tarikh itu iaitu hari ini,” katanya.

Selain itu, ada juga peminat-peminat dan rakan media yang bertanya soalan sama kepadanya, namun dia tidak mampu memberikan jawapan kerana tidak mahu merosakkan kejutan untuk single baru itu.

Terbaru, Daiyan hadir dengan single baru berjudul Langit hasil ciptaannya bersama dua komposer iaitu Omar K dan Ikhwan Fatanna.

“Single baru ini berkisar mengenai cinta dan raikan dua hati. Jadi, saya sesuaikan dengan konsep ala perkahwinan,” katanya.

Disiarkan pada: August 19, 2018 @ 3:58pm
d