utama

Hanya kerana takut berambut pendek

Oleh Rudy Imran Shamsudin

PENERBIT dan pelakon Sheila Rusly menyelar pelakon popular dan sedang mencipta nama kerana enggan menerima tawaran membintangi drama bersiri terbaru terbitannya, Leftenan Zana.

Sheila ketika dihubungi berkata, pelakon berkenaan berbuat demikian kerana enggan memotong rambut.

“Memegang watak tentera wanita, adalah penting untuk pelakonnya memotong rambut pendek,” katanya.

Menurutnya, Janna Nick yang memegang watak utama sebagai Leftenan Zana, turut mengorbankan rambutnya untuk dipotong pendek supaya dapat menjayakan watak terbabit.

“Kalau hendak diikutkan Janna sedang menyimpan untuk memanjangkan rambutnya, tetapi dia sanggup mengorbankan rambutnya,” katanya.

Sheila yang turut membintangi Leftenan Zana, dia mencari pelakon untuk menjayakan watak penting bergandingan dengan Janna sebagai Pranita.

“Bagaimanapun, tidak ada seorang pun pelakon punya nama mahu terima tawaran ini.

“Saya hairan kerana mereka ini pelakon dan memang tugas seorang pelakon harus memenuhi apa saja kehendak dan tuntutan watak. Tambahan pula watak penting dan menarik dipaparkan dalam Leftenan Zana bukan selalu ada.

“Kalau mereka seorang pelakon sejati dan berlakon disebabkan mahu berkarya, sudah tentu mereka akan berebut mahu menjayakan watak yang saya tawarkan. Tetapi sayang, ia tidak berlaku.

“Sekarang ini, saya mempersoalkan pembabitan mereka dalam industri seni ini untuk apa? Mahu menjadi pelakon atau cari glamor semata-mata?” katanya.

Disiarkan pada: August 19, 2018 @ 6:03pm
d