utama

Perjalanan terakhir...

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Mereka saling tidak mengenali, namun atas rasa tanggungjawab sesama umat Islam, dia sanggup mengeluarkan duit sendiri dan berkhidmat 24 jam sehari demi menguruskan jenazah yang tidak dituntut serta daripada keluarga tidak berkemampuan.

Lantaran menyedari menguruskan jenazah adalah fardu kifayah, lelaki ini membuka badan pertubuhan amal, Skuad Pengurusan Jenazah (SPJ) Malaysia, Januari lalu, dengan mengumpul sukarelawan untuk membantu menguruskan jenazah Islam.

Pengerusinya, Muhammad Rafieudin Zainal Rasid, 27, berkata, dia didedahkan dengan pengurusan jenazah sejak berusia 13 tahun dan pelbagai pengalaman, situasi serta keajaiban ditemui di depan mata.

“Saya didedahkan dengan menguruskan jenazah oleh guru dan sudah berdepan dengan pelbagai mayat seperti lemas, terbakar, dibunuh, HIV, kemalangan dan transgender untuk diuruskan.

“Alhamdulillah, walaupun mempunyai Diploma Syariah dan Undang-Undang serta Ijazah Sarjana Syariah daripada Universiti Kebangsaan Malaysia, saya lebih suka melakukan pekerjaan ini dengan membantu orang yang memerlukan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, antara objektif utama penubuhan SPJ Malaysia ialah menggalakkan masyarakat terbabit dalam hal ehwal pengurusan jenazah.

“Sukarelawan yang berminat saya terus membawa mereka ke hospital supaya dapat melihat sendiri dan merasai pengalaman berdepan jenazah.

“Oleh itu, keyakinan mereka akan datang dan dapat memandikan serta menguruskan jenazah ahli keluarga sendiri,” katanya yang mempunyai 20 sukarelawan aktif.

Muhammad Rafieudin berkata, selain itu, pihaknya turut membantu keluarga yang tidak berkemampuan untuk menguruskan jenazah waris.

“Melalui maklumat hospital dan orang ramai, kami menerima makluman ada waris tidak mampu menguruskan jenazah sehingga urusan itu ditangguhkan bagi mengumpul wang belanja.

“Kami akan tampil dan membantu mereka yang kebanyakannya asnaf dan mualaf dengan kos percuma dari awal urusan bermula mandi jenazah, kafan, solat, sampai ke tanah perkuburan menggunakan wang sumbangan orang ramai dan juga persendirian,” katanya.

Menurutnya, bagi ahli keluarga berkemampuan, pihaknya meletakkan harga paras siling yang dipersetujui dengan pihak hospital.

“Dianggarkan kita menguruskan antara 70 hingga 90 kes sebulan selepas dihubungi orang ramai melalui Facebook dan hospital.

“Saya sentiasa mengingatkan diri sendiri supaya sentiasa berhati-hati menguruskan jenazah dan menganggap seperti menguruskan jenazah sendiri,” katanya yang memerlukan sumbangan orang ramai untuk membeli van jenazah berharga RM100,000 yang ketika ini disewa.

Sementara itu, sukarelawan yang juga penuntut Ijazah Sarjana Syariah Ekonomi, Alif Akram Norkasani, 24, berkata, sebelum terbabit secara langsung dengan SPJ Malaysia, dia berkunjung dari satu masjid ke masjid lain untuk bertanya sama ada mereka memerlukan sukarelawan menguruskan jenazah.

“Bagaimanapun, semua masjid yang saya pergi sudah mempunyai pasukan sendiri sebelum saya berjumpa FB SPJ Malaysia dan menghubungi Muhammad Rafieudin.

“Alhamdulillah, sudah dua tahun saya bersama SPJ Malaysia dan pelbagai kes dan keajaiban ditempuhi di depan mata.

“Antara pengajaran yang saya dapat ialah hampir 70 peratus anak lelaki tidak mampu menyempurnakan jenazah ibu bapa sendiri. Semua urusan diserahkan kepada SPJ sedangkan di saat-saat akhir ibu bapa begitu memerlukan anak mereka,” katanya.

Penuntut Universiti Malaya itu berkata, dia sentiasa mengingatkan diri sendiri supaya menganggap setiap jenazah diuruskan seperti ahli keluarga sendiri.

Disiarkan pada: August 20, 2018 @ 9:21am
d