utama

Tragedi menjelang Aidiladha

Oleh Safuri Kamarudin

TIGA maut dalam kemalangan membabitkan dua motosikal dan kereta di Kilometer 44.7 Jalan Baru Kulim-Baling, di Baling, pagi tadi.

Dalam kejadian pada 7.50 pagi itu, dua penunggang motosikal yang maut, Shafiee Che Man, 29, berasal dari Kampung Kelian Dalam dan Abd Razak Che Ad, 52, dari Desa Keda Keledang.

Seorang lagi mangsa, Ummul Atiqah Abdul Latif, 20, yang juga penumpang kereta disahkan meninggal dunia pada jam 9 pagi tadi, ketika mendapat rawatan di Hospital Baling.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shariffuddin Yusof berkata, dua penunggang motosikal berkenaan dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah kilang di Taman Teknologi Tinggi Kulim.

Katanya, pada masa sama, sebuah kereta dipandu seorang lelaki menuju ke Baling terbabas dan masuk ke laluan bertentangan sebelum pemandunya melanggar dua penunggang motosikal berkenaan.

“Akibatnya kedua-dua penunggang motosikal parah pada bahagian badan dan muka dan disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.

"Seorang penumpang kereta turut mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di Hospital Baling," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shariffuddin berkata, pemandu kereta yang berasal dari Taman Bersatu, Baling, hanya cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.

“Ketika kejadian, cuaca agak berjerebu dan lokasi kemalangan adalah di laluan lurus.

"Pemandu kereta sudah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Jenazah semua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk bedah siasat.

Disiarkan pada: August 20, 2018 @ 3:11pm
d