utama

[UPDATE] Hajat tak kesampaian...

Oleh Shahrul Nizam Mohamad dan Nazirul Roselan

EMPAT yang maut dalam kemalangan pagi tadi termasuk tiga beradik, menyewa Perodua Viva demi menemui keluarga mereka di Kampung Keluat, Beris Kubur Besar, Bachok dan Pasir Mas, Kelantan.

Kepulangan itu untuk menyambut Hari Raya Aidiladha, Rabu ini namun tidak kesampaian selepas kereta dinaiki bertembung treler di Kilometer 19, Jalan Lipis-Merapoh dekat Batu 7, di Lipis, jam 9.50 pagi.

Mimi Suziana Mohamed, 39, bersama adiknya, Norfasmida, 24, dan Ahmad Faris, 16, serta rakan Norfasmida, Nur Farah Farahainsah Jaafar, 21, meninggal dunia di tempat kejadian kerana parah.

Sementara pemandu treler, Muhammad Rosli Abdullah, 25, tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis, Superintendan Azry Akmar Ayob berkata, kereta itu dipandu Norfasmida yang juga penuntut Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan, manakala kakaknya yang bekerja di sebuah pasar raya di Kuala Lumpur duduk di tempat duduk penumpang hadapan.

“Dua lagi mangsa, Ahmad Faris adalah pelajar Kolej Vokasional Seremban dan Nur Farah, rakan Norfasmida di IKBN Pekan masing-masing duduk di tempat duduk belakang.

“Berdasarkan keterangan pemandu treler, ketika kejadian, dia mendakwa melihat kereta dinaiki mangsa dari arah Lipis ke Merapoh hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

“Dakwanya, hon sudah dibunyikan beberapa kali sebagai amaran kepada mangsa, selain cuba mengelak ke kiri jalan, namun gagal disebabkan jarak yang dekat, sebelum kedua-dua kenderaan itu bertembung,” katanya, hari ini.

Azry Akmar berkata, semakan terhadap kereta dinaiki mangsa mendapati ia kereta sewa daripada sebuah syarikat dan mempunyai lapan saman membabitkan kesalahan memandu melebihi had laju.

Katanya, tiga beradik itu berasal dari Bachok (Kampung Keluat), sementara Nur Farah berasal dari Kampung Tok Sidi, Meranti, Pasir Mas.

Beliau berkata, sampel air kencing dan darah pemandu lori sudah diambil untuk ujian kimia sementara, siasatan di tempat kejadian mendapati laluan lurus tetapi menuruni bukit menghala Lipis.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Berita berkaitan

Empat maut Viva bertembung treler>

Disiarkan pada: August 20, 2018 @ 4:46pm
d