utama

Tidak harapkan layanan istimewa

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Selepas suami pelakon Niena Baharun iaitu Aliff Firdaus Abdul Hadi, 31, dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk, Sabtu lalu, Niena dihujani ucapan tahniah daripada keluarga, rakan dan peminat.

Niena, 25, yang kini bergelar Datin mengakui kekok dengan gelaran itu. Namun, ia tidak mengubah dirinya seperti yang dikenali ramai.

Bagi Niena yang popular menerusi watak Husna dalam drama bersiri Jangan Benci Cintaku, dia selesa untuk terus disapa Niena baik dalam kalangan rakan terdekat atau peminat.

“Sejujurnya, saya masih kekok dan tidak biasa apabila ada yang mulai memanggil Datin. Bagi saya, kalau ia membabitkan majlis rasmi okey jika nak panggil Datin. Jika tidak, panggil nama saja. Saya lagi suka.

“Apatah lagi, saya juga membahasakan diri dengan Niena. Jadi tidak ada masalah untuk panggil nama. Saya tidak mahu gelaran ini mencipta jurang antara saya dengan orang sekeliling. Saya masih sama seperti dahulu. Tidak ada apa yang berubah pun.

“Ada juga bertanya sama ada selepas ini kena panggil Datin, saya berkata tidak perlu. Buat macam biasa saja seperti anda mengenali saya sebelum ini,” katanya.

Menurut Niena, dia dan suami tidak menjangka mengenai penganugerahan itu apatah lagi seminggu sebelum majlis suaminya baru dapat jemputan ke Istana Pahang.

“Saya memang tidak tahu mengenai perkara ini. Apabila suami dapat surat, dia pula buat kejutan kepada saya. Dia hanya beritahu saya sediakan baju baru kerana nak pergi istana. Saya masih tertanya-tanya atas tujuan apa.

“Apabila suami memaklumkan perkara sebenar, saya terkejut. Bagaimanapun, saya menganggap ini rezeki bayi dalam kandungan. Memandangkan ini darjah kebesaran daripada pihak istana, saya dan suami terima dengan hati terbuka.

“Cuma, buat masa sekarang saya masih cuba membiasakan diri dengan gelaran ini terutama jika menghadiri majlis rasmi nanti. Kalau ada yang panggil Datin saya jawab. Kalau ada panggil nama saja pun, saya jawab,” katanya.

Pada masa sama, Niena menegaskan penganugerahan itu diberikan kepada suami. Jadi, dia tidak mahu ada mana-mana pihak keliru yang mengatakan dirinya mendapat Datuk.

Pada masa sama, Niena tidak mengharapkan sebarang layanan istimewa atau seperti VVIP.

“Yang dapat Datuk adalah suami, bukannya saya. Tidak ada sebab mahu berlagak pun. Dari segi layanan jika menghadiri sebarang majlis nanti, saya belum terfikir ke arah itu. Kalau sebelum ini layanan lebih atas tiket saya sebagai artis. Ini pun sudah memadai buat saya,” katanya.

Watak lebih ‘versatile’

Mengenai kerjaya seninya, Niena mengakui banyak mendapat tawaran melakonkan watak jahat selepas kejayaan watak Husna.

Memandangkan dirinya kini sarat mengandung, Niena mengambil keputusan berehat daripada dunia lakonan hingga habis tempoh berpantang nanti.

“Alhamdulillah, tawaran berlakon tidak putus. Malah, ada yang sudah bertanya selepas bersalin terus berlakon atau tidak. Buat masa sekarang, saya belum berani memberikan sebarang jawapan. Ia bergantung selepas bersalin nanti.

“Kebanyakannya menawarkan saya watak jahat. Saya okey saja, cuma kalau boleh mahu pelbagaikan lagi watak dalam lakonan. Saya juga ingin menjadi pelakon ‘versatile’ yang boleh melakonkan apa saja watak.

“Saya tidak mahu dikenali dengan satu watak. Saya percaya, penonton akan lebih menghargai kita sekiranya mampu melakonkan pelbagai watak. Mana tahu dapat tawaran watak orang gila, saya okey saja. Memang mahu cuba sesuatu yang baru pula,” katanya.

Ditanya mengenai ura-ura mengatakan Jangan Benci Cintaku bakal disambung, Niena belum mendapat sebarang maklumat lanjut.

“Saya pun tidak pasti mengenai perkara ini. Mungkin kalau banyak permintaan daripada peminat, pihak penerbitan akan pertimbangkan. Malah, Datuk Rosyam Nor selaku penerbit pun ada berkata, kalau drama ini ada sambungan, dia mahukan jalan cerita yang lebih baik terutama dari segi mesej yang ingin disampaikan.

“Untuk watak Husna pula, saya pun tidak dapat gambaran lagi bagaimana kalau ia disambung. Sama ada nak terus jadi baik atau kembali kepada watak asal. Sama-sama kita tunggu jika ada sambungannya,” katanya.

Disiarkan pada: August 21, 2018 @ 8:44am
d