utama

Lelaki maut dijangkiti rabies

Oleh Siti A'isyah Sukaimi

KEMENTERIAN Kesihatan mengesahkan, lelaki berusia 44 tahun di Sarawak meninggal dunia 10.15 pagi semalam akibat Rabies Encephalitis.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebelum ini, pesakit dari Jalan Matang, Kuching itu disyaki dijangkiti rabies dan dimasukkan ke wad Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 16 Ogos lalu.

Menurutnya, hasil ujian sampel klinikal yang dijalankan adalah positif bagi jangkitan rabies.

"Berdasarkan maklumat yang diterima, pesakit tidak mempunyai sejarah digigit anjing atau haiwan lain, namun pernah memukul seekor anjing liar yang menggigit isterinya pada 13 Januari lalu.

"Ketika itu, pesakit mempunyai luka terbuka di tangan kanan manakala, dilaporkan anjing berkenaan kemudiannya mati.

"Justeru, Kementerian Kesihatan mengucapkan takziah kepada keluarga pesakit,," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pesakit tidak mendapatkan sebarang rawatan walaupun sudah membawa isterinya ke hospital untuk rawatan dan vaksinasi.

Katanya, lelaki terbabit mula mengalami sakit di tangan kanannya pada awal Ogos dan sudah mendapatkan rawatan pesakit luar pada 6 Ogos lalu.

"Keadaannya bertambah teruk sejak 11 Ogos dan mengalami gejala kebas dan lemah tangan kanan, tidak boleh bergerak, ketegangan di leher dan hidrofobia.

"Dia dibawa ke Unit Kecemasan HUS untuk mendapatkan rawatan pada 16 Ogos. Ujian ke atas sampel klinikal yang dijalankan di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) didapati positif bagi jangkitan virus rabies," katanya.

Beliau berkata, buat masa ini, isteri kepada pesakit berada dalam keadaan sihat dan sudah melengkapkan jadual vaksinasi antirabies sebanyak empat dos.

Disiarkan pada: August 22, 2018 @ 10:47am
d