utama

Beri isyarat samun

Oleh Agensi

Texas (Amerika Syarikat): Seorang kakitangan bank didakwa bersubahat dalam rompakan bersenjata ganas apabila dipercayai memberi isyarat kepada teman lelakinya mengenai pelanggan yang keluar dari premis itu membawa wang tunai AS$75,000 (RM308,000) di Houston.

Shelby Wyse, 25, dilaporkan memerhatikan pelanggan wanita terbabit sepanjang melakukan transaksi di bank berkenaan sebelum menghantar pesanan ringkas kepada teman lelakinya, Travoon Johnson - seorang daripada suspek yang ditahan berkaitan rompakan itu - sebaik mangsa keluar dari situ.

Daily Mail memetik dokumen mahkamah menyatakan pesanan ringkas itu mungkin isyarat untuk bertindak. Bagaimanapun, polis masih belum memperoleh waran untuk memeriksa telefon bimbit Shelby.

Rakaman kamera keselamatan menunjukkan dua lelaki Afrika Amerika menyerang wanita itu di luar sebuah stesen minyak selepas mengekorinya dari Bank Wallis State, iaitu tempat Shelby bekerja.

Rakaman didedahkan pejabat konstabel Daerah Harris menunjukkan seorang penyerang berkenaan masuk ke keretanya dan menggilis mangsa apabila mengundurkan kenderaan itu.

Mangsa enggan melepaskan beg dan suaminya dilihat berlari keluar dari kedai di stesen minyak berkenaan serta bergelut dengan suspek sebelum penjenayah itu melarikan diri dengan beg mangsa.

Wanita terbabit yang tidak dikenal pasti identitinya masih dalam keadaan kritikal di hospital.

Menurut pendakwa, Shelby menyewa kereta yang digunakan dalam serangan itu. Shelby mendakwa kereta itu dicuri, namun pihak berkuasa berkata, mereka tiada rekod laporan dibuat berhubung kejadian itu.

Sementara itu, rekod telefon bimbit Johnson, 27, dan seorang lagi suspek, Davis Mitchell, 31, menunjukkan mereka membincangkan rompakan itu.

Mitchell ditahan tidak lama selepas rompakan berlaku, manakala wang dicuri turut ditemui bersamanya.

Johnson dan Mitchell didakwa atas tuduhan rompakan bersenjata.

Polis masih memburu suspek keempat kejadian itu.

Disiarkan pada: August 24, 2018 @ 9:10am
d