utama

Roti bakar dapur arang

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

Seremban: Keunikan yang ditonjolkan Mohd Rizal Salikon, 39, menjual roti bakar menggunakan basikal antik di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Senawang 3, dekat sini, menarik perhatian orang ramai.

Lebih menarik, dia yang berpakaian sut tukang masak turut membakar roti itu di lokasi berkenaan menggunakan dapur arang.

Katanya, idea menjual roti bakar itu tercetus selepas dia melihat gaya jualan roti bakar di India menerusi YouTube.

“Saya cuba melakukannya pada Mac lalu menggunakan basikal antik koleksi saya yang diubah suai untuk menempatkan perkakas yang sesuai.

“Pada mulanya saya menjual roti John namun disebabkan sambutan kurang memberangsangkan saya beralih pada menjual roti bakar dan sambutan yang diterima menggalakkan,” katanya ketika ditemui di SK Senawang 3, dekat sini.

Menurutnya, terdapat lima perisa yang dijualnya iaitu coklat, mentega kacang, blueberry, mentega dan kaya.

“Setiap hari kira-kira 20 set roti bakar dijual. Setiap satu set hanya RM1.

“Roti ini dijual bermula jam 1 petang sehingga 2.30 petang untuk murid sesi pagi dan jam 4 petang sehingga 5.30 petang untuk murid sesi petang pada setiap Isnin sehingga Khamis.

“Pada masa akan datang, saya akan menggunakan basikal tiga roda disebabkan permintaan semakin meningkat dan ingin mempercepatkan proses pembakaran roti terbabit,” katanya.

Sementara itu, seorang pelanggan, Zaidlar Sarbayni, 44, berkata, gaya penjualan roti bakar itu bukan saja unik malah ia menarik murid termasuk ibu bapa.

“Setiap kali menjemput anak, saya pasti membelinya kerana harganya bukan saja murah malah rasanya enak.

“Saya menggalakkan anak membeli roti ini berbanding membeli makanan ringan seperti snek atau gula-gula kerana ia bukan saja tidak mengenyangkan malah tidak berkhasiat,” katanya.

Disiarkan pada: August 24, 2018 @ 9:22am
d