utama

Tak jemu layan Bak, Ma

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Di sebalik kesibukannya berniaga, Mohd Haslizam Mat Zain, 40, tidak pernah melupakan tanggungjawabnya terhadap ibu bapa, malah mereka dibawa bersama ke kedainya di Pasar Besar Kedai Payang (PBKP) di sini.

Di kedai itu, Mohd Haslizam bukan hanya melayani pelanggan yang singgah membeli makanan ringan yang dijualnya terutama keropok, malah menguruskan bapanya, Mat Zain Ismail, 74, yang disapa Bak.

Ibunya, Fatimah Yusof, 69, turut bersama kerana bagi anak kelima daripada tujuh beradik itu, dia puas melihat ibu bapanya berada di depan mata, apatah lagi kedua-duanya tidak berapa sihat.

Walaupun premis itu dipenuhi barang niaga, Mohd Haslizam yang juga anak lelaki sulung dalam keluarga tetap memastikan ada ruang untuk meletakkan kerusi malas buat insan kesayangannya.

Apabila tiba waktu makan, dia akan menyuapkan makanan untuk bapanya dan melayani penuh mesra orang tua itu sehingga mengundang kagum kepada orang ramai yang melalui kedainya di PBKP.

Mohd Haslizam berkata, Bak tidak mampu bergerak kerana masalah saraf sejak tujuh bulan lalu dan dia tidak sanggup membiarkan bapanya di rumah di Kampung Wakaf Beruas di sini, ketika semua adiknya keluar bekerja pada waktu siang.

“Semua keperluannya saya uruskan, sebab itu saya bawa Bak ke kedai ini yang juga kedai keluarga kami yang diusahakan sejak 50 tahun lalu.

“Sebelum ini, Bak dan Ma memang tidak ‘lekat’ di rumah kerana Bak akan memandu kereta bersama Ma menemani saya berniaga di sini setiap hari.

“Namun, selepas sakit sarafnya menyerang, Bak tidak boleh menguruskan diri, jadi saya ambil tanggungjawab dan berulang-alik dari rumah saya di Kampung Tanjung mengambil mereka di Kampung Wakaf Beruas.

“Biasanya, saya keluar rumah jam 7 pagi dan Bak akan saya mandikan dan uruskan pakaian serta makan minumnya sebelum bawa mereka ke PBKP,” katanya.

Mohd Haslizam yang mempunyai seorang anak perempuan berusia 12 tahun berkata, dia akan menghantar orang tuanya pulang ke rumah mereka selepas menutup kedai pada jam 6 petang.

Katanya, sampai di rumah, tanggungjawabnya terhadap bapa diteruskan sehingga orang tua itu selesa sebelum pulang ke rumahnya.

Menurutnya, ibu dan bapanya senang berada di PBKP yang sudah menjadi rumah kedua mereka, walaupun tidak dinafikan keadaan di situ tidak selesa seperti di rumah.

“Saya sendiri tenang melihat mereka di depan mata kerana hanya Bak dan Ma yang berada di rumah pada waktu siang, memandangkan ahli keluarga lain keluar bekerja dan ke sekolah.

“Tidak timbul istilah jemu dan bosan kerana rutin ini sudah saya lakukan sejak tujuh bulan lalu kerana ia tanggungjawab saya sebagai anak sulung lelaki.

“Selagi terdaya, saya akan melakukannya dan berdoa mereka diberikan kesihatan yang baik supaya saya dapat terus berbakti kepada mereka,” katanya.

Bagi Zulkalmul Hakem, 28, dia kagum dengan kesungguhan abangnya menguruskan bapa mereka sejak lelaki itu mengalami sakit saraf.

“Setiap hari abang melakukan perkara sama dan kami adik beradik lain menghormati pengorbanan dilakukan sejak tujuh bulan lalu.

“Malah, PBKP ini sudah macam rumah kami. Adakalanya kami adik-beradik berkumpul di sini membantu abang menguruskan kedai apatah lagi Bak dan Ma memang berada di sini,” katanya.

Disiarkan pada: August 24, 2018 @ 9:38am
d