utama

'Saya sangat privasi'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Dalam pada artis lain berlumba-lumba mengumpul peminat, berbeza pula dengan pelakon Aedy Ashraf yang tidak kisah mengenai perkara itu.

Menurut Aedy, 25, atau nama sebenarnya Mohammed Addy Ashraf Rosmadi, sepanjang 17 tahun pembabitannya dalam bidang seni dia tidak tahu sama ada memiliki peminat atau tidak.

Namun, Aedy yang kini muncul dalam drama Cinta Tiada Ganti di saluran Astro Prima mengakui pernah menolak tawaran penubuhan kelab peminat untuknya.

“Saya tidak tahu sama ada memiliki peminat atau tidak. Saya jenis yang bekerja dan fokus kepada setiap karya. Dari situ, saya cuba memberikan yang terbaik dengan sepenuh hati.

“Kalau bercakap mengenai peminat, bagi saya tidak ada pun tak apa. Dulu pernah ada pihak yang

ingin menubuhkan kelab peminat tetapi saya tidak mahu.

“Bukan bermaksud saya menolak sokongan mereka. Saya tetap menghargai usaha mereka. Cuma, saya bukan jenis yang suka terbabit dalam aktiviti luar atau permainan. Itu bukan saya. Sebaliknya, saya seorang yang sangat privasi,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, Aedy juga mengambil pendekatan menutup ruangan komen di Instagram bagi mengelak diri terjebak dengan aura negatif yang ditimbulkan netizen.

Pada masa sama, Aedy tidak mahu perkara dibangkitkan peminat di laman sosial mengganggu ‘mood’ bekerja.

“Saya tutup ruangan komen awal tahun ini. Terlalu banyak isu dan perkara negatif dibangkitkan netizen. Ada sahaja yang tidak kena di mata mereka.

“Saya pula jenis malas nak ambil tahu. Jadi, bagi mengelak diri terjebak dan pening dalam masalah itu, saya ambil keputusan tutup komen. Ia lebih baik. Siapa yang saya ‘follow’ saja boleh komen.

“Seperkara lagi, komen mereka itu ada ketikanya boleh mengganggu ‘mood’ kerja terutama pada waktu pagi. Sebagai manusia biasa, saya juga ada perasaan. Tipu kalau saya tidak terasa dengan apa yang diperkatakan,” katanya.

Tak kejar populariti

Menyentuh populariti pula, Aedy menegaskan dia selesa dengan apa dimiliki sekarang. Baginya, popular atau tidak bukanlah menjadi keutamaan buat dirinya.

Apa yang penting bagi Aedy adalah tawaran berlakon tidak putus dan penerbit masih mempercayai bakat lakonannya.

“Saya tidak pandang populariti. Saya lebih percaya kepada rezeki. Sepanjang 17 tahun ini, alhamdulillah rezeki saya sentiasa ada. Biarlah orang nak kata saya berada pada tahap sama saja.

“Walaupun tidak sepopular Fattah Amin, saya tetap bersyukur. Diakui pada zaman sekarang, populariti memainkan peranan penting. Namun, bagi saya ia bersifat sementara. Dalam erti kata lain ia bermusim. Penerbit pun menyedari perkara ini.

“Jadi, untuk diri sendiri popular atau tidak, tidak mengapa. Asal saja orang tahu saya boleh berlakon dengan baik, itu sudah memadai,” katanya.

Perkembangan lain, Aedy bakal muncul dalam filem Gol & Gincu 2 yang bakal ditayangkan pada 25 Oktober ini.

Menerusi filem arahan Umi Salwana Omar, Aedy bergandingan dengan Ummi Nazeera, Sazzy Falak, Datin Diana Danielle dan Syafiq Kyle sebagai pelakon utama.

“Jalan cerita filem ini berbeza dengan yang pertama apatah lagi siri kedua ini diterbitkan selepas 10 tahun. Saya membesar dengan filem dan siri ini. Jadi, serba sedikit tahu jalan ceritanya.

“Malah, sebelum menjalani penggambaran filem ini, saya menonton semula Gol & Gincu bagi mendapatkan ‘feel’. Ditambah pula, hubungan baik saya dengan Syafiq membuatkan kami mudah serasi di lokasi.

“Saya tidak mahu terlalu berharap menerusi filem ini. Menjadi sebahagian daripada legasi Gol & Gincu cukup membuatkan saya gembira dan bangga,” katanya.

Disiarkan pada: August 25, 2018 @ 10:36am
d