utama

Oghang Perancis cakap Nogori [METROTV]

Oleh Nur Aqidah Azizi

SEKALI pandang, Jade Nur Moulin, 7, dari Perancis kelihatan sama seperti kanak-kanak Perancis yang lain.

Bagaimanapun, kanak-kanak berdarah kacukan Melayu-Perancis ini bukan sekadar fasih berbahasa Melayu, malah memiliki loghat Negeri Sembilan yang pekat.

Anak ketiga pasangan warga Malaysia, Nurazimah Karim, 43, dan lelaki Perancis, Nicolas Moulin, 48, itu menjadi popular di media sosial selepas video kepetahannya bercakap dalam dialek Negeri Sembilan, tular.

Ketika ditemui di Imperial Suite Lexis Hibiscus Port Dickson Resort Hotel di Port Dickson, baru-baru ini, Nurazimah berkata, membesarkan empat anaknya jauh beribu batu dari Malaysia tidak menghalangnya mengajar mereka bertutur dalam bahasa Melayu.

"Semua anak saya boleh bercakap dalam Bahasa Perancis, Melayu dan Inggeris. Tetapi saya biasanya bercakap dengan mereka dalam Bahasa Melayu supaya mereka menguasai bahasa ibunda saya.

"Ayah saya berasal dari Negeri Sembilan dan apabila kami berhubung melalui telefon, saya suka menyelitkan dialek Negeri Sembilan. Jade suka meniru percakapan saya dan dari situ dia mengembangkan kebolehannya bertutur dalam dialek berkenaan,” katanya.

Nurazimah yang pernah berkhidmat di bank di ibu kota sebelum berhijrah ke Paris pada 2001 berkata, dia sendiri terkejut apabila pertama kali mendengar anak perempuannya bercakap di dalam dialek Negeri Sembilan tahun lalu, sebelum merakamkan video dan memuat naik ke akaun Instagramnya.

"Saya tidak sangka video itu menjadi tular. Saya hanya menyedari perkara itu setelah diberitahu oleh ahli keluarga dan kawan-kawan dari Malaysia," katanya.

Nurazimah berkata, walaupun bahasa Perancis adalah bahasa pertama yang digunakan oleh suaminya dengan tiga lagi anaknya; Adam Daniel Moulin, 16; Ida Aili Moulin, 12; dan Anna Syifa Moulin, tujuh bulan, dalam perbualan seharian mereka, Bahasa Melayu tidak pernah diketepikan.

"Mengajar anak-anak Bahasa Melayu adalah satu cara untuk mendidik mereka mengenai Malaysia. Saya mula bertutur dengan mereka dalam Bahasa Melayu sejak mereka dilahirkan dan ini membantu mereka menguasai bahasa itu dengan baik.

"Saya sudah menetap di Paris selama 17 tahun, tetapi Malaysia sentiasa berada di hati dan sehingga hari ini, saya masih berasa rindu untuk kembali ke tanah air apabila berada di sana.

"Saya suka berkongsi cerita mengenai Malaysia kepada anak-anak. Ia seperti terapi apabila saya rindu kampung halaman. Anak-anak juga sangat menyukai Malaysia dan sentiasa ternanti-nanti percutian tahunan kami ke Malaysia," katanya.

Nurazimah berkata, selain menjalankan perniagaan inap desa dan pakej pelancongan di Paris, dia dan suaminya turut menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan dengan nama Nasi Ayam Paris yang turut popular dalam kalangan pelancong, selebriti dan orang kenamaan dari Malaysia.

"Apabila berada jauh dari negara sendiri, anda cenderung melihat Malaysia dengan perspektif yang berbeza dan lebih menghargainya. Negara kita mempunyai kepelbagaian dari pelbagai sudut dan itulah yang menjadikan Malaysia negara yang indah.

"Negara ini sudah mencapai pelbagai kejayaan sejak merdeka. Sempena sambutan kemerdekaan negara yang ke-61 tahun ini, saya berharap semua rakyat Malaysia boleh kekal bersatu-padu di dalam menghadapi apa sahaja rintangan," katanya.

Nurazimah berkata, walaupun dia dan keluarga tidak berkesempatan untuk menyambut Hari Kebangsaan di Malaysia, dia bercadang untuk memasak masakan Malaysia untuk keluarganya pada 31 Ogos nanti.

"Kehidupan saya di Paris sangat bahagia, tetapi suatu hari nanti, saya dan keluarga akan kembali semula ke Malaysia," katanya.

Disiarkan pada: August 25, 2018 @ 2:00pm
d