utama

Selesa berkawan baik

Oleh Rudy Imran Shamsudin

Hubungan baik terjalin antara penyanyi semakin mencipta nama Ismail Izzani dan Sarah Suhairi bukan lagi rahsia.

Malah sebelum ini masing-masing sudah memberikan kenyataan mereka pernah keluar bersama tetapi bukan berdua.

Bagaimanapun, sebaik tampil berduet mendendangkan lagu You Are The Reason di pentas Big Stage minggu lalu, gosip hubungan Ismail dan Sarah sebenarnya membabitkan hati dan perasaan timbul kembali.

Malah sebaik pengumuman Sarah Suhairi akan berduet dengan Ismail untuk konsert Big Stage minggu ketiga minggu lalu ramai peminat memberi komen suka andai mereka benar-benar bercinta.

Ditemui baru-baru ini dan meminta pandangannya mengenai permintaan peminat, Ismail berkata perkara itu tidak sepatutnya ditimbulkan.

“Kalau ikut logik akal soal cinta bukan mudah. Lagipun saya dah Sarah selesa berkawan baik. Sikap kami tak banyak beza. Kami gila-gila jadi bila bertemu tak rasa kekok.

“Namun, apabila ada yang minta kami bercinta, itu saya rasa kurang manis. Takut menimbulkan rasa kurang senang kedua-dua pihak. Jadi, sebaiknya perkara seperti ini tidak diperkatakan kerana kami tidak bercinta pun,” katanya.

Melihat corak persembahan mereka minggu lalu, ternyata dua penyanyi itu tampak serasi dan ramai memberikan reaksi positif.

“Keserasian dan kemesraan itu sebenarnya lahir daripada keakraban kami sebagai kawan. Kami sebaya dan rapat sejak tahun lalu.

“Segalanya bermula apabila Sarah menyanyikan kembali lagu saya dan dimuat naik di laman Instagram dia. Saya memuji nyanyiannya dan sejak itu kami berkawan.

“Selepas itu kami ada keluar dengan beberapa rakan lagi. Apabila berkawan baik, saya sebaik mungkin cuba mengelak daripada dikaitkan dengan cerita kononnya bercinta,” katanya.

Jelas Ismail, apabila Sarah mempelawa untuk berduet, dia bersetuju sebagai tanda sokongan kepada rakan baiknya itu.

Penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Sabar itu berkata sewaktu mendendangkan You Are The Reason, mereka menggunakan teknik nyanyian yang sama untuk memastikan persembahan itu tampak sempurna.

“Kalau peminat perasan cara nyanyian kami sama cuma bezanya saya lelaki dan Sarah perempuan. Apabila berkawan baik, kami tahu kelebihan masing-masing dan mudah berbincang mencari pendekatan terbaik bagi menjadikan persembahan lebih menarik,” katanya.

Mungkinkah pujian diberikan peminat terhadap persembahan duet Ismail dan Sarah membuka ruang kepada mereka untuk menghasilkan lagu duet pada masa akan datang?

Menjelaskan perkara itu, Ismail berkata dia memang menunggu peluang itu andai pihak pengurusannya mahupun Sarah punya inisiatif untuk berbuat demikian.

Malah dia tidak kisah sama ada lagu itu dimuatkan dalam albumnya ataupun menjadi single terbaru Sarah.

Disiarkan pada: August 26, 2018 @ 4:00am
d