utama

'Fikir kenapa P Ramlee hasilkan Semerah Padi' [METROTV]

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Berada di dalam industri perfileman tanah air sebagai pengkritik dan pemerhati memberikan pelbagai ilmu buat individu bernama Hassan Abd Muthalib, 73, ini.

Tidak cukup dengan itu, dia juga pernah mencurahkan tenaganya sebagai pengarah, penulis dan pernah juga mencuba nasib dalam bidang lakonan.

Hassan juga digelar Bapa Animasi Negara apabila menjadi orang pertama menghasilkan animasi iaitu Hikayat Sang Kancil pada 1961 terbitan Filem Negara Malaysia.

Apa yang menarik, animasi berkenaan mula dihasilkan pada 1961 dan hanya siap pada 1978. Namun, ia hanya ditayangkan pada 1983 atas faktor politik.

Berbicara mengenai dunia perfileman tanah air, Hassan yang lebih mesra disapa Pak Hassan merasakan bahawa pengkarya filem tempatan hanya sekadar membikin filem secara dasar dan tidak melihat lebih mendalam atau tersirat.

Kafe Ahad minggu ini berkongsi pandangan Pak Hassan mengenai kritikan filem dan industri filem tempatan secara amnya seperti yang dikongsikan beliau bersama wartawan SYAFIL SYAZWAN JEFRI.

Boleh Pak Hassan terangkan mengenai maksud tersirat yang perlu ditekankan penggiat filem dalam karya yang mereka hasilkan?

Dalam sesebuah filem, ada teks iaitu apa yang kita tonton dan subteks iaitu sesuatu yang tersirat. Contoh mudah, lihat saja karya Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Jika sesuatu filem itu adalah nilai tersirat, orang akan sentiasa ingat dan akan bertahan lama. Kalau filem ‘murahan’ yang tidak ada nilai tersirat, ia akan bertahan untuk tempoh masa singkat.

Apakah antara filem Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang boleh Pak Hassan jadikan contoh?

Contoh yang saya boleh berikan ialah Semerah Padi yang diarahkan pada 1955. Saya nampak sesuatu yang sangat luar biasa dalam filem itu.

Saya mengambil masa selama 20 tahun untuk berfikir kenapa P Ramlee hasilkan filem mengenai kisah agama yang kuat sedangkan kita tahu, dia bukanlah seorang yang kuat agama. Jadi, saya dapati bahawa dia adalah seorang yang spiritual.

Apabila saya dijemput oleh Penang Institute untuk bercakap mengenai filem P Ramlee, saya tonton semula Semerah Padi dan ia bukanlah semata-mata mengenai hukum hudud, sebaliknya filem itu sebenarnya mempersoalkan hukum hudud.

Namun, hingga kini belum ada seorang pun ahli akademik yang menghuraikan apa yang sebenarnya cuba disampaikan dalam Semerah Padi.

Boleh Pak Hassan huraikan apa yang tersirat daripada Semerah Padi?

Babak pertama menunjukkan kepulan asap dan kemudian muncul suara menggerunkan yang membaca kalimah Bismillah. Babak terakhir pula menunjukkan rumah di mana P Ramlee berkahwin dengan Saadiah dan kemudian, kita dapat dengar selawat ke atas nabi dibacakan.

Di bahagian depan, P Ramlee bercakap mengenai Tuhan dan di bahagian hujung, dia bercakap mengenai Nabi.

Itu ertinya, Tuhan meletakkan hukum dan Nabi Muhammad SAW pula memberikan syafaat dan akan ‘melepaskan’ seseorang itu daripada hukum. Orang yang akan menerima syafaat adalah mereka yang berjalan di jalan yang benar.

Dalam Semerah Padi, kita juga dapat saksikan dua jenis wanita. Seorang wanita lakonan Normadiah adalah wanita yang berzina secara terang-terangan dan berdiri memegang keris mempertahankan kelakuannya. Secara zahir, kita akan menganggap bahawa dia adalah ahli neraka.

Seorang lagi wanita adalah yang dilakonkan oleh Saadiah. Watak Dara itu adalah gadis yang penuh sopan-santun namun tetap berzina. Bagaimana kita akan pertimbangkan dua jenis wanita ini?

Dalam satu babak, ketika watak Teruna lakonan Nordin Ahmad menyerahkan Dara kepada P Ramlee sebagai Aduka, terlihat ayat al-Quran di dinding rumahnya dan dari situ, kita tahu ada sesuatu dalam diri Aduka.

Benda ini tak ada dalam hampir keseluruhan filem Malaysia hari ini. Mereka tak faham seni reka produksi dan pengarahan seni membantu dalam penceritaan. Itu yang saya sebut sebagai subteks.

Bukan saja dialog, tapi juga prop, warna, pencahayaan dan sebagainya turut membantu.

Dalam filem moden pula, filem arahan pengarah mana yang boleh dijadikan contoh?

Filem arahan Mamat Khalid antaranya patut diberi pujian. Terbaru, filem Hantu Kak Limah pun sebenarnya banyak subteks yang boleh dikupas.

Dalam filem itu, Mamat memasukkan elemen orang bunian sebagai tarikan untuk orang pergi menonton. Ada mesej yang ingin disampaikannya.

Alam bunian tidak boleh bersatu dengan alam manusia. Maknanya, alam mereka berbeza dan kita kena jaga alam kita. Jangan ambil sesuatu yang bukan milik kita.

Ada juga watak gangster, tapi ada nilai serta mesej yang ingin disampaikan.

Bukan seperti filem gangster lain yang sangat negatif dengan bahasa yang kasar dan sebagainya.

Dalam erti kata lain, Mamat menggunakan komedi, parodi dan satira dalam meluahkan maksud tersirat.

Pada pandangan Pak Hassan, filem tempatan yang mana sangat berkualiti, tetapi tidak diberikan perhatian?

Ada satu filem alternatif pertama Malaysia berjudul Tok Perak arahan Syed Alwi. Ia dihasilkan dalam bentuk drama TV sebanyak lima episod, tapi juga dihasilkan dalam bentuk filem berdurasi 45 minit.

Sayangnya, ia tidak ditayangkan kepada orang awam. Filem itu sarat dengan subteks dan jalan ceritanya cukup cantik.

Tok Perak adalah Syed Alwi sendiri. Dia adalah penglipurlara yang mengikut cara hidup orang tua-tua zaman dahulu.

Selain itu, filem Hanyut arahan U-Wei Haji Saari juga adalah filem yang luar biasa. U-Wei sendiri membawa pemikiran yang cukup mendalam mengenai orang Melayu dalam setiap watak yang diukirnya.

Hanyut sebelum ini pernah bertanding dalam satu pertandingan filem namun kalah kepada satu karya yang boleh dianggap sebagai telefilem. Tapi, saya tak nafikan telefilem itu sangat berkualiti.

Kemudian, ketika saya dijemput sebagai juri di Anugerah Skrin 2017, saya kongsikan sedikit mengenai filem ini dengan juri lain. Saya ajak mereka melihat sendiri kemantapan ceritanya.

Untuk filem ini, ada script doctor dari luar negara dan dibuat dengan sangat teliti. Ia juga memakan masa 10 tahun untuk dikaji berdasarkan buku tulisan Jospeh Conrad.

Saya tak mahu mempengaruhi mereka, jadi kami tonton semula filem itu dan apa yang saya nampak, semua juga menonton dengan fokus. Akhirnya, Hanyut berjaya membawa pulang anugerah dan kerja keras U-Wei, berhasil.

Apakah penambah baik yang perlu dilakukan kepada filem kita hari ini?

Banyak yang perlu diperbaiki untuk menaik taraf filem tempatan. Novelis, F Scott Fitzgerald pernah berkata, sebelum menulis sesuatu karya, kita perlu berdiri dan alami alam.

Tapi, penulis kita hari ini kebanyakannya hanya duduk di dalam bilik berhawa dingin dan kemudian, fikir untuk lahirkan satu cerita. Hasilnya adalah cerita ‘monyet’ yang sesuai untuk monyet!

Sebagai penulis, kita adalah ahli fikir yang perlu tahu mengenai sejarah sastera, sinema dan negara.

Hasilnya yang datang dari situ bukan hanya sekadar berlandaskan teknik penulisan skrip semata-mata kerana itu cuma tangga untuk kita mendaki.

Kedua adalah pengarah. Saya ambil contoh AR Badul. Dia berkarya daripada dalam diri dan pengalamannya. Cerita yang baik datang daripada pengalaman kita dan perasaan kita sendiri.

Selain itu, pembikin filem juga harus banyak membaca buku. Apabila kita membaca, kita selami pemikiran manusia yang pandai dan hebat. Dari situ, akan tercetus satu idea.

Nak dapatkan idea, ambil satu buku falsafah, pejamkan mata dan buka satu persatu muka surat buku itu. Kemudian, letakkan jari di mana muka surat yang berhenti.

Itu mampu menjadi satu premis dan tema yang sangat baik sebab ia datang daripada ahli falsafah.

Kalau tak ada benda yang saya nyatakan di atas, jangan nak bercakap mengenai bajet besar, lokasi di luar negara dan sebagainya.

Pak Hassan boleh jelaskan lebih lanjut mengenai kajian sastera?

Sastera adalah perkara utama. Berapa banyak penulis dan pengkritik filem tahu mengenai sastera klasik dan asal-usul sastera kita?

Lihatlah karya sastera klasik daripada penulis seperti Hamka, Datuk A Samad Said, Allahyarham Pak Sako dan ramai lagi. Kemudian, lihat juga sastera moden dan kaji, bagaimana watak Melayu itu direka dan mengikut perubahan zaman.

Kalau dulu, Melayu diangkat dengan kisah-kisah istana dan bangsawan. Kemudian zaman membawa watak Melayu itu lebih terbuka dan ada watak wanita yang menjadi pelacur.

Kini, watak manusia bernama Melayu menjadi lebih materialistik, individualistik dan sebagainya. Apabila kita kenal kewujudan watak itu, barulah ia akan menjadi mantap.

Satu lagi perkara adalah muzik. Kalau belajar animasi di Eropah, ada empat perkara yang ditekankan iaitu sastera, teater, falsafah dan muzik. Ia adalah asas yang kuat untuk menjadi pembikin filem yang baik.

Apakah pengalaman kurang menarik yang Pak Hassan pernah alami sepanjang menjadi pengkritik filem?

Ada pengarah yang tak senang dengan saya. Bukan kerana dia marah sebab tulisan dan kritikan saya, tapi kerana saya dedahkan ‘rahsia’ dia sebagai pengarah apabila saya bercakap mengenai perkara tersirat.

Ada juga yang menghubungi saya dan mengucapkan terima kasih kerana kritikan saya, berkisar mengenai apa yang orang lain tak nampak.

Sebagai pengkritik filem, apakah pelakon juga dilihat sebagai kriteria dan bagaimanakah untuk seseorang pelakon itu mampu mengemudi watak yang diberikan?

Saya bukanlah pelakon profesional, tapi saya tahu sikit-sikit. Saya sendiri pernah berlakon dalam lima filem cereka, beberapa drama TV dan satu video muzik.

Saya bukanlah orang yang mudah untuk hafal skrip, jadi saya minta dialog yang pendek. Apa yang seseorang pelakon perlu tahu adalah apabila berhadapan dengan kamera, dia kena lupakan wujudnya kamera itu. Fikirkan mengenai watak dan apa yang nak cakap.

Lakonan bukan dalam gerak-geri saja, tapi dari dalam mata. Jika pelakon yang betul-betul bagus, jika kita lihat dalam matanya saja, kita sudah nampak dia berubah menjadi watak yang dibawakan.

Wujudnya dalam watak juga perlu berbeza daripada apa yang kita lihat di luar. Jadi, dia tak menjadi diri sendiri, sebaliknya menghidupkan watak yang dibawakannya dalam sesuatu naskhah.

Ada juga pelakon Malaysia hari ini, bayarannya, tinggi tapi tak boleh pakai. Penerbit atau pengarah terpaksa ambil sebab ramai pengikut dan ada populariti.

Siapakah pelakon yang Pak Hassan rasakan sebagai ‘pelakon sebenar’ seperti yang Pak Hassan maksudkan?

Yang betul-betul boleh berlakon kebanyakannya tidak hanya berlandaskan paras rupa saja. Kebanyakan mereka datang dari pentas teater.

Antaranya Amerul Affendi, Namron, Beto Kusyairy dan Sharifah Amani. Lakonan mereka berbeza dalam setiap watak yang dilakonkan. Seorang lagi pelakon yang saya nampak berbakat besar ialah Sharifah Sakinah. Saya pernah menonton filem lakonannya iaitu Kimchi Untuk Awak. Lakonannya sangat bersahaja tapi luar biasa.

Disiarkan pada: August 26, 2018 @ 6:30am
d