utama

Di mana Jho Low?

Oleh Teoh Pei Ying

Kuala Lumpur: Di manakah lokasi persembunyian ahli perniagaan yang sedang melarikan diri, Low Taek Jho atau Jho Low.

Ramai berpendapat China adalah pilihan utama untuk Jho Low mengelakkan diri dari diberkas termasuk oleh pihak Polis Antarabangsa (INTERPOL).

China selaku kuasa besar dunia mempunyai kecenderungan untuk tidak mematuhi notis merah dikeluarkan INTERPOL meskipun tersenarai sebagai negara anggota.

Pakar Geostrategis, Azmi Hassan berkata senario yang berlaku sekarang di antara kedua-dua negara juga dilihat sebagai peluang bagi Jho Low menjadikan China sebagai tempat persembunyiannya.

Katanya, selain isu geopolitik, Jho Low mempunyai sumber di negara tembok besar itu berdasarkan latar belakang keluarga apabila datuknya, Datuk Low Meng Tak dikatakan berasal dari Guangdong, antara negeri terbesar di China.

“Jika dilihat, ada semacam ketegangan yang berlaku di antara Malaysia dan China, isu pembatalan projek-projek besar ini memberikan satu senario untuk digunakan oleh individu selicik Jho Low.

“Malah, beliau dikatakan mempunyai sumber yang boleh digunakan untuk meneruskan kehidupan hariannya di China, memandangkan beliau mempunyai seorang datuk yang bergelar jutawan di sana.

“Satu lagi aspek penting, apabila menyentuh mengenai notis merah INTERPOL kadang-kadang negara kuasa besar seperti China dan Russia tidak akan mengendahkan notis itu, kerana notis Interpol ini hanyalah satu persefahaman di antara negara yang terbabit, tidak ada peruntukan mensabitkan kesalahan kepada negara yang tidak mematuhinya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu pensyarah Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Salawati Mat Basir, pula melihat notis merah INTERPOL itu hanyalah sebahagian kecil daripada isu yang lebih besar iaitu proses ekstradisi.

Katanya, jika kita melihat proses berkenaan dengan lebih mendalam, Jho Low sebenarnya boleh memilih mana-mana negara yang tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Malaysia.

“Notis merah ini proses polis memaklumkan kepada semua negara ahli Interpol mengenai individu yang dicari, dan jika individu itu dikesan berada di negara ahli, tangkapan boleh dilakukan.

“Namun, tidak semua negara ahli itu mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Malaysia, sebagai contoh hanya Singapura dan Brunei mempunyai perjanjian ekstradisi yang amat jelas dengan Malaysia.

“Maka terpulang kepada negara yang tidak mempunyai perjanjian ekstradisi ini untuk serahkan atau tidak individu terbabit kepada negara yang memohon.

“Bagaimanapun, Malaysia boleh memohon ekstradisi menerusi budi bicara politik, di sinilah saya melihat betapa kritikalnya untuk Malaysia melantik seorang wakil kerajaan untuk berbincang dengan mana-mana negara jika Jho Low dikatakan ditahan di negara itu,” katanya.

Kelmarin, Jho Low dan bapanya, Tan Sri Larry Low Hock Peng, dikenakan waran tangkap oleh Mahkamah Sesyen Putrajaya untuk membolehkan dua beranak itu ditahan di luar negara bagi menghadapi pertuduhan dalam pengubahan wang haram membabitkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Waran tangkap terhadap Jho Low, 37, dan Hock Peng, 66, dikeluarkan selepas Mahkamah Sesyen meluluskan permohonan difailkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pejabat Peguam Negara, terhadap dua beranak itu yang kini melarikan diri ke luar negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata pihaknya akan mengemukakan permohonan Notis Merah daripada INTERPOL bagi mengesan dan menangkap mereka bagi membolehkan proses membawa mereka pulang ke negara ini untuk menghadapi pertuduhan di mahkamah.

Disiarkan pada: August 26, 2018 @ 7:00am
d