utama

[UPDATE] 'Renjer kata dia berdebar, gementar' [METROTV]

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Azize

“SAYA berdebar (dan) gementar,” kata renjer Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Ahmad Tarmizi Ahmad Japli, 30, yang ditemui selamat selepas 14 hari hilang di Hutan Simpan Yong, Taman Negara, Jerantut.

Perasaan itu diluahkan Ahmad Tarmizi kepada Pegawai Bomba Kanan Fuaad Jamaluddin ketika proses membawa keluarnya dari kem pangkalan dua menggunakan teknik ‘winching’ untuk menaiki helikopter.

Fuaad berkata, Ahmad Tarmizi memaklumkan ia adalah pengalaman pertamanya menaiki helikopter apatah lagi menggunakan teknik berkenaan yang kelihatan seolah-olah tergantung di udara.

“Mangsa kelihatan sihat dan baik, namun sedikit keletihan...mungkin disebabkan sudah terlalu lama hilang dalam hutan.

“Saya tidak sempat berbual panjang dengannya kerana mahu dia berehat sepanjang perjalanan,” katanya ditemui selepas tiba di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford di Kuala Lipis, hari ini.

Mangsa tiba di padang sekolah berkenaan pada 2.05 petang menaiki helikopter jenis AW139 Augusta milik Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebelum dibawa ke Hospital Lipis untuk menerima rawatan.

Penerbangan itu dilakukan Kapten Liong Cheong Mang dan dibantu empat lagi anggota bomba yang bertolak dari Pangkalan Udara Subang, Selangor, pada 10 pagi.

Sementara itu, Pegawai Bomba Rohaizat Yusof yang bertanggungjawab membawa mangsa naik ke helikopter bersyukur kerana proses terbabit berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

“Walaupun keadaan hutan agak tebal, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) terlebih dahulu sudah menerangkan kawasan itu, sekali gus memudahkan proses membawa keluar mangsa yang mengambil masa dua minit," katanya,

Dalam pada itu, Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, berkata mangsa akan diberikan cuti panjang untuk berehat dan memulihkan perasaan trauma dialaminya.

“Renjer berkenaan adalah anggota kita yang terlatih kerana itu dia mempunyai ikhtiar hidup tinggi sehingga mampu bertahan walaupun hilang hampir dua minggu.

“Program kaji selidik harimau disertainya dilakukan di seluruh negara bagi mengumpul data populasi harimau dan ia bukan kali pertama mangsa masuk dalam hutan untuk tujuan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, usaha media menemubual Ahmad Tarmizi dan ahli keluarganya gagal kerana mereka dikawal anggota polis.

KRONOLOGI KEHILANGAN RENJER PERHILITAN, AHMAD TARMIZI AHMAD JAPLI

9 Ogos 2018

Tujuh renjer PERHILITAN termasuk Ahmad Tarmizi masuk ke Hutan Simpan Yong, Taman Negara Jerantut untuk Program Kaji Selidik Harimau Kebangsaan.

11 Ogos 2018

Dua daripada renjer tinggal di kem pangkalan 2 manakala lima lagi masuk ke dalam hutan untuk menyelenggara kamera.

Ketika dalam perjalanan pulang, mangsa mengadu penat dan ingin menggunakan jalan sungai sebelum mereka berpecah kepada dua kumpulan. Mangsa disedari hilang oleh rakannya ketika berada di hulu Sungai Atok.

12 Ogos 2018

Laporan polis dibuat di Balai Polis Kuala Tembeling berhubung kehilangan mangsa.

13 Ogos 2018

Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut.

20 Ogos 2018

Mesyuarat Penyelarasan dilakukan Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Ab Rahman bersama agensi yang terbabit.

25 Ogos 2018

Terima maklumat dari pasukan SAR bahawa mangsa sudah dijumpai pada jarak empat kilometer dari kem pengkalan 2.

Mangsa dibawa ke kem pengkalan berkenaan untuk bermalam berikutan cuaca semakin gelap.

26 Ogos 2018

Mangsa dibawa keluar menggunakan helikopter jenis AW139 Augusta milik Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia ke padang SMK Clifford sebelum dihantar ke Hospital Lipis untuk menerima rawatan.

Berita berkaitan

'Misteri betul...'

Syukur, Tarmizi berjaya ditemui...

Belum jumpa Tarmizi

[UPDATE] 'Dia antara Renjer PERHILITAN terbaik'

Moga Tarmizi berjaya ditemui...

Disiarkan pada: August 26, 2018 @ 5:13pm
d