utama

'Berbaju kelawar pun boleh daki bukit'

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

SAMBIL memakai kaftan atau lebih dikenali sebagai ‘baju kelawar’, lima wanita sudah bergelar ibu mendaki Bukit Batu Sawa di Kampung Pergai Peradong, Jelebu, untuk mengibarkan Jalur Gemilang, hari ini.

Dikenali sebagai Kumpulan Pendaki Bega, Azriah Mohd Azmir, 38, mengetuai empat rakan baiknya memulakan pendakian bukit setinggi 333 meter yang terkenal dalam kalangan pendaki di dalam dan luar Negeri Sembilan itu, bermula 7 pagi dan tiba di puncak 50 minit kemudian.

Azriah berkata, pada asalnya mereka mahu mendaki dengan berpakaian sukan, namun idea memakai baju kelawar diusulkan seorang rakan sebagai simbolik wanita yang sudah berkahwin dan berkeluarga mampu melakukan aktiviti lasak.

“Baju kelawar biasanya dipakai wanita sudah menjadi ibu pada waktu malam, mungkin kerana selesa dan praktikal dalam menguruskan rumah tangga, terutama anak yang ramai.

“Biarpun diketawakan anak dan suami masing-masing sebelum keluar dari rumah awal pagi tadi, kami tidak berkecil hati, malah sebenarnya reaksi mereka membuktikan hubungan kekeluargaan rapat dan mesra,” katanya.

Katanya, semangat mereka membara dengan membawa misi mengibarkan Jalur Gemilang di puncak bukit itu menyebabkan perjalanan pendakian dirasakan tidak lama.

Rakannya, Haryati Sidi, 44, dari Kuala Klawang, berkata dia akur dengan hasrat rakan lain yang mahu memakai baju kelawar biarpun pada awalnya berasa tidak sesuai.

Katanya, pengalaman mendaki dengan suasana ceria bersama rakan dan berkenalan dengan ramai pendaki lain amat menyeronokkan dan melegakan segala tekanan kerja.

“Kami membawa dua Jalur Gemilang dan memacak bendera itu di puncak bukit bagi membolehkannya terus berkibar,” katanya.

Disiarkan pada: August 26, 2018 @ 10:09pm
d