utama

'Saya keluar bermaruah'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Penyingkiran penyanyi Andi Bernadee pada minggu ketiga dianggap kejam dalam kalangan peminat dan penggiat industri hiburan kerana menjadi mangsa ‘permainan’ program realiti.

Meski menerusi pemarkahan juri profesional, Andi, 27, atau nama sebenarnya Andi Azrul Andi Mapangile berada di kedudukan ketujuh daripada sembilan peserta, dia perlu akur apabila tewas menerusi undian aplikasi Tik Tok yang menyaksikan kuasa peminat.

Mahu atau tidak, itu hakikat yang perlu diterima Andi sekali gus menyelamatkan penyanyi Tajul yang berada di kedudukan terakhir.

Namun, tiada sedikit pun rasa kecewa di hati Andi kerana dia sudah membuat persembahan terbaik ditambah pula komen positif daripada Datuk Seri Siti Nurhaliza selaku juri tetap.

“Saya keluar bermaruah kerana bukan berada di kedudukan terakhir.

“Cuma, saya mangsa permainan peminat. Jadi tidak ada apa yang perlu dikesalkan. Mungkin program ini bukan rezeki saya dan ada sesuatu yang lebih baik sedang menanti.

“Saya juga menganggap perjalanan kerjaya seni baru saja bermula. Saya tetap positif untuk majukan diri dan melangkah ke depan. Selama tiga minggu berada dalam program ini, sedikit sebanyak peminat sudah nampak bakat saya,” katanya.

Pada masa sama, Andi yang popular menerusi lagu nyanyian semula Tak Tun Tuang mengakui tidak mempunyai ramai peminat untuk mengundi setiap minggu di aplikasi itu.

Andi berkata, ketiadaan lagu sebelum ini yang mampu mencecah jutaan penonton antara faktor dia kurang peminat.

“Diakui saya antara peserta yang tidak ada ramai peminat. Apatah lagi saya tidak memiliki lagu yang meraih jutaan tontonan hingga berada dalam kelompok popular.

“Dari satu sudut, saya jauh ketinggalan berbanding Budak Baru Nak Up (BBNU) lain yang bertanding. Kekuatan peminat sedia ada bonus besar buat mereka. Macam Tajul, dia beruntung kerana peminat boleh menyelamatkan kedudukannya daripada tersingkir.

“Saya tidak cemburu dengan kelebihan dimiliki Tajul. Itu adalah rezekinya dan saya hormat keputusan program ini. Lagipun, sejak awal ketika mendapat tawaran menyertai program ini saya sudah bersedia menerima apa saja keputusan,” katanya.

Pertaruh single baru

Langkah Andi tidak terhenti di situ kerana dia bakal menghasilkan single baru ciptaan Alif yang juga bekas anggota kumpulan Sleeq tidak lama lagi.

Menariknya, lagu rancak yang menyelitkan eleman muzik ala Latin itu pilihan Andi yang dirasakan sesuai dengan dirinya.

“Saya sudah mendengar demo lagu ini. Saya suka lagu ini dan ia genre yang saya inginkan. Insya-Allah saya akan merakamkan lagu ini dalam waktu terdekat dan dilancarkan tahun ini juga.

“Saya minat genre sebegini. Bagi saya, lagu balada bukan jiwa. Apatah lagi, terlalu ramai penyanyi yang menyanyikan genre balada. Saya yakin peminat akan menyukai dan terima lagu ini,” katanya.

Bagi merancakkan lagi kerjaya seninya, Andi bakal terbabit dengan siri jelajah syarikat rakaman Warner Music bulan depan.

Kesempatan itu diambil Andi untuk mendekati peminat sekali gus menonjolkan personaliti dan bakatnya.

“Ini peluang untuk saya menambat hati peminat. Mungkin ada penonton program realiti yang saya sertai tidak sempat melihat bakat sebenar saya dan ini platform terbaik untuk saya tonjolkan apa yang saya ada. Peluang ini akan saya manfaatkan sebaik mungkin.

“Saya percaya, setiap usaha akan disertakan dengan kejayaan. Cuma, lambat atau cepat ia terpulang kepada rezeki masing-masing. Kalau selama ini saya boleh sabar untuk berada pada tahap sekarang, kenapa sekarang tidak boleh?

“Saya berterima kasih kepada semua peminat yang sudi menyokong. Mereka sanggup menubuhkan kelab peminat Andi Dears Official. Saya sangat hargai jasa mereka,” katanya.

Disiarkan pada: August 27, 2018 @ 9:17am
d