utama

Tetap cekal

Oleh AFP

Mosul (Iraq): Lebih setahun selepas Daish diusir dari Mosul, seorang nenek masih berdepan pelbagai cabaran untuk meneruskan hidup termasuk menjaga 22 cucu apabila lima anggota keluarga maut ketika kota berkenaan ditawan kumpulan militan itu.

Wanita berusia 61 tahun itu sentiasa dikelilingi cucunya, dengan yang paling kecil baru berusia dua tahun, selain turut menjaga suaminya, Mowafaq Hamid, 71, yang menghidap penyakit Alzheimer.

Cabaran terbesar Sana ialah mencari makanan mencukupi untuk mereka semua dengan keseluruhan ahli keluarga itu seramai 32 orang.

Ketika Daish menguasai Mosul selama tiga tahun, anak lelaki Sana, Fares dan Ghazwan diculik militan itu bersama menantu lelakinya, Massud.

Disebabkan mereka anggota pasukan keselamatan, mereka dianggap murtad oleh militan Daish.

“Mungkin mereka sudah dibunuh. Saya berharap satu hari nanti dapat menemui mayat mereka,” katanya.

Sepanjang pendudukan Daish, beratus-ratus askar kerajaan serta polis diculik dan dibunuh, manakala mayat mereka dicampakkan dalam kubur besar di utara Mosul.

Tentera Iraq melancarkan serangan pada 2016 untuk merampas semula Mosul. Ia berlarutan selama berbulan-bulan sebelum militan itu diusir pada Julai 2017.

Dua lagi anak Sana terbunuh di medan perang. Anak lelakinya, Youssef, 20, dan anak perempuannya, Nour, 18, mati ditembak penembak curi ketika lari dari kediaman mereka.

Peperangan di Mosul memusnahkan bahagian barat kota itu.

Sana dan keluarganya terpaksa mencari tempat baru untuk menjadi tempat tinggal selepas rumah mereka musnah.

Mereka berpindah ke timur kota itu dan membayar 500,000 dinar (RM1,766) sebulan untuk menyewa kediaman yang cuma seluas 150 meter persegi.

Sana mengakui sukar membayar sewa kerana empat lagi anaknya masih menganggur.

“Kami hanya mampu meneruskan kehidupan dengan kemurahan hati penderma prihatin di Mosul. Jika tidak pasti kami sudah mati kebuluran dan sakit,” katanya.

Namun pada masa sama Sana yang juga kakitangan awam tidak kedekut berkongsi rezeki, apabila sebahagian pendapatan bulanannya serta seorang anak lelaki turut diberikan kepada keluarga lain yang memerlukan.

“Saya berharap cucu-cucu saya rajin belajar supaya dapat memperoleh kerja yang elok pada masa akan datang.

“Saya tidak mahu mereka mengemis seperti anak yatim lain,” katanya.

Disiarkan pada: August 27, 2018 @ 9:30am
d