utama

Jam ada nilai sentimental buat Wak Doyok

Oleh Michelle Gun

Siapa sangka di sebalik imejnya sebagai ikon fesyen, Wak Doyok penggemar jam tangan dan dinding sejak kecil.

Pelakon dan pengacara berusia 38 tahun ini memberitahu dia turut mempunyai jam dinding antik berusia 80 tahun yang diwarisi daripada datuknya.

“Jam itu saya perbaiki semula menjadi cantik dan ia masih menggunakan sistem kunci,” katanya.

Bagi jam tangan pula, Wak Doyok mempunyai beberapa koleksi pelbagai jenama termasuk yang berharga mahal.

“Saya masih menyimpan jam yang dibeli sejak di bangku sekolah. Saya masih ingat jam pertama berjenama Casio yang dihadiahkan bapa sempena ulang tahun ke-15.

“Selain itu, saya juga menerima jam percuma yang diberikan peniaga untuk membuat ulasan produk di media sosial,” katanya.

Jelas Wak Doyok, dia sukakan jam kerana aksesori itu mempunyai nilai sentimental.

“Berbeza dengan orang lain, saya menetapkan waktu satu jam lebih awal kerana jenis menepati masa.

“Kalau ada acara atau pertemuan penting, saya boleh tiba awal di lokasi,” katanya.

Ujar Wak Doyok, dia tidak suka membiarkan orang menunggunya apabila ada temu janji.

“Saya berbuat demikian kerana pernah ditegur disebabkan tiba lambat untuk pertemuan penting.

“Teguran individu itu saya ingat hingga sekarang,” katanya.

Buat program travelog sendiri

Perkembangan lain, Wak Doyok bakal tampil dengan program travelog di Thailand selepas Ke Jepun Ke Kita tamat siarannya dua tahun lalu.

Turut bergandingan dengan Wak Doyok adalah Myo Oh Chentaku yang pernah mengendalikan Ke Korea Ke Kita, Ke Indonesia Ke Kita dan Ke Jepun Ke Kita bersama ikon media sosial itu.

Menurut Wak Doyok, selain menyajikan banyak tempat pelancongan menarik, Thailand antara negara yang boleh dikunjungi dengan perbelanjaan rendah.

“Saya keluarkan wang simpanan sendiri untuk menghasilkan program ini. Thailand paling sesuai untuk program ini kerana kos perbelanjaan rendah,” katanya.

Menurut Wak Doyok, penggambaran akan bermula dalam waktu terdekat untuk tiga episod perintis dengan setiap satunya berdurasi 30 minit.

“Konsep travelog ini sama dengan tiga program yang dikendalikan bersama Myo. Bezanya, program ini akan disiarkan di YouTube.

“Seandainya sambutan menggalakkan, saya merancang untuk jelajah ke Eropah atau Australia,” katanya.

Selain itu, Wak Doyok sibuk meluaskan empayar niaganya dan bakal melancarkan lima produk penjagaan diri serta kopi di Indonesia.

Disiarkan pada: August 28, 2018 @ 9:22am
d