utama

Nahas patah hati

Oleh AFP

Kathmandu: Patah hati dikenal pasti membawa kepada nahas pesawat di lapangan terbang di Nepal yang meragut 51 nyawa, Mac lalu, apabila juruterbangnya dilaporkan mengalami tekanan emosi, malah menangis ketika penerbangan selepas kemahirannya dipertikaikan.

Menurut salinan laporan yang ‘bocor’ semalam, juruterbang itu mengalami tekanan emosi ketika menerbangkan pesawat selepas kemahirannya diragui dan dipersoalkan.

Nahas pada 12 Mac itu berlaku apabila pesawat dari Dhaka terhempas di lapangan terbang Kathmandu dan terbabas ke padang bola berhampiran sebelum terbakar, membunuh 51 orang sekali gus disifatkan nahas penerbangan terburuk Nepal sejak beberapa dekad lalu.

Salinan laporan akhir siasatan itu merumuskan juruterbang syarikat AS-Bangladesh itu dalam tekanan dan terganggu selepas rakan sekerja wanita mempersoalkan reputasinya sebagai jurulatih.

“Rasa tidak percaya dan tekanan itu menyebabkannya merokok tanpa henti di dalam kokpit, selain gagal mengawal emosi beberapa kali sepanjang penerbangan.

“Kapten Abid Sultan menangis dan bersin beberapa kali sepanjang penerbangan,” kata laporan itu.

Dalam penerbangan jarak dekat dari Dhaka ke Kathmandu itu, Abid yang juga bekas juruterbang Tentera Udara Bangladesh bercakap tanpa henti sebagai cubaan untuk menonjolkan kehebatannya.

Ia menyebabkan pembantu juruterbang yang kurang berpengalaman hilang tumpuan ketika menghampiri lapangan terbang tunggal Nepal itu yang terkenal mencabar untuk pesawat mendarat.

Akibatnya, pesawat itu terhempas selepas berubah haluan pada saat akhir tanpa mengurangkan kelajuan dan gagal membuat persediaan sewajarnya untuk mendarat.

Seramai 51 orang maut termasuk dua juruterbang berkenaan, manakala 20 penumpang yang terselamat mengalami kecederaan serius.

Disiarkan pada: August 28, 2018 @ 9:42am
d