utama

Syukur ramai bantu Afiq

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: “Alhamdulillah, ramai yang menyumbang untuk bantu Afiq. Terima kasih saya ucapkan kepada semua. Duit itu boleh kami kumpulkan untuk persediaan beli kaki palsu.

“Buat masa ini, keadaan tidak banyak berubah. Afiq pula akan jumpa doktor dalam masa terdekat untuk periksa keadaan kakinya selepas menjalani pembedahan, Rabu lalu,” kata Zulwarni Lailee.

Ibu Muhammad Afiq Muhammad Shukri, 17, itu bersyukur kerana sumbangan berkenaan boleh digunakan untuk tujuan merawat anaknya yang sedang menunggu laporan doktor.

Katanya, sejak kisah anaknya disiarkan akhbar ini, Jumaat lalu, jumlah dana untuk Afiq semakin bertambah dan ada juga jiran terdekat tampil menghulurkan bantuan.

“Saya akan simpan duit ini bagi kegunaan apabila perlu beli kaki palsu untuk Afiq. Dia akan berjumpa doktor lagi hari ini (semalam) untuk perkembangan terkini kakinya itu,” katanya ketika dihubungi di rumahnya di Tanjung Bungah, Pulau Pinang, semalam.

Jumaat lalu, Harian Metro melaporkan, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Gambir, Pulau Pinang itu sudah menjalani lebih 30 pembedahan di kaki kiri akibat kanser tulang dan terpaksa dipotong bulan lalu.

Dia yang reda dengan ujian hidupnya sanggup berkorban tidak mahu lagi menjalani rawatan demi untuk menjimatkan kos memandangkan ibu bapanya sudah berhabis kira-kira RM100,000 bagi menampung kos rawatan.

Remaja yang mempunyai semangat juang luar biasa itu mahu wang yang dibelanjakan untuk dirinya digunakan bagi tujuan pembiayaan tiga lagi adiknya termasuk membiayai persekolahan mereka.

Sementara itu, aktivis masyarakat, Natipah Abu yang turut membantu keluarga terbabit berkata, pihaknya mendapat banyak maklum balas daripada orang ramai sejak kisah berkenaan tular beberapa minggu lalu.

Katanya, orang ramai juga memberikan sumbangan untuk meringankan beban Zulwarni yang menjual apam balik bagi membiayai kos perubatan anaknya.

“Ada juga yang kagum dengan semangat Afiq yang menerima takdir dirinya. Saya juga sempat berjumpa dengan dia dan ternyata semangatnya begitu kuat untuk sembuh,” katanya.

Disiarkan pada: August 28, 2018 @ 10:07am
d