utama

Hukuman sebatan pasangan lesbian ditangguh

Oleh Fitri Nizam

HUKUMAN sebatan terhadap pasangan lebian yang sepatutnya dilaksanakan hari ini, ditangguhkan kepada 3 September depan kerana masalah teknikal.

Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu, Nurul Huda Abdul Rahman berkata, hukuman enam sebatan yang diperintah terhadap pasangan terbabit terpaksa ditangguhkan susulan isu teknikal membabitkan pihak yang menjalankan hukuman.

Pada masa sama, Nurul Huda menasihatkan pasangan itu supaya hadir seawal 10 pagi iaitu sebelum hukuman dijalankan.

Sebelum ini, NSTP melaporkan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu menjatuhkan hukuman denda RM3,300 dan enam sebatan terhadap dua wanita kerana cuba melakukan hubungan sejenis ketika ditahan dalam sebuah kereta, di Dungun, pada April lalu.

Kedua-dua wanita berusia 32 dan 22 tahun itu turut berdepan hukuman empat bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan dalam tempoh ditetapkan.

Keputusan itu dibuat Hakim Syarie Kamalruazmi Ismail selepas pasangan itu mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen yang sama kerana musahaqah.

Bagaimanapun, Kamalruazmi menetapkan hari ini sebagai tarikh pelaksanaan hukuman sebatan dan kedua-dua tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM1,500 dengan dua penjamin setiap seorang sementara menunggu pelaksanaan hukuman.

Berita berkaitan:

Lesbian kena denda, sebat

Disiarkan pada: August 28, 2018 @ 5:21pm
d