utama

Tak pernah menyerah

Oleh Suzalina Halid

Alor Setar: Bekas komando Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang kehilangan kaki kanan akibat terkena jerangkap samar dalam operasi menentang komunis pada 1979 masih bersedia mengangkat senjata berkhidmat kepada negara jika kebolehannya diperlukan.

Semangat mempertahankan negara masih menebal dalam jiwa Nor Mohamad Lawamiah, 61, iaitu bekas komando berpangkat koperal meskipun dalam keadaan hilang upaya kini.

Pengalaman yang dilaluinya ketika menyertai operasi bukan sesuatu yang ‘menyeronokkan’ bagi individu lain, namun Nor Mohamad akui ia satu kepuasan kerana dapat berkhidmat untuk negara.

Apatah lagi, Nor Mohamad yang berkhidmat di ATM pada 1977 hingga 1991 di Kem 21 Para Komando Sungai Udang, Melaka, masih berhutang dua tahun dalam perkhidmatan diraja.

“Justeru, sekiranya dipanggil bila-bila masa menyertai operasi demi negara, saya sanggup menyertainya walaupun dalam keadaan seperti ini.

“Ini kerana semangat komando saya masih menebal dalam hati dan keseronokan serta kerinduan menyertai operasi di hutan tidak mungkin terpadam walaupun ia pernah meragut kaki saya, ” katanya.

Mengimbau kembali kenangan hitamnya 5 Ogos 1979 lalu melalui Op Gubir Muda 1, beliau bersama empat anggota komando lain ditugaskan menyertai operasi di Betong, Thailand untuk meninjau ‘kawasan’ komunis di situ.

Selepas lebih sebulan ‘berkampung’ di situ, nasib Nor Mohamad kurang baik apabila terpijak jerangkap samar menyebabkannya tercampak sejauh 30 meter.

Katanya, keadaan berlaku begitu pantas, malah beliau dibantu rakan masih mampu membuat rawatan kecemasan meskipun kaki kanannya hingga ke buku lali hancur umpama daging burger.

“Ketika itu saya tidak rasa sakit dan masih mampu bertenang sementara menunggu pasukan penyelamat yang tiba menaiki helikopter dan mengejarkan saya ke Hospital Alor Setar untuk rawatan susulan.

“Saya menerima rawatan di hospital selama sebulan dan menggunakan kaki palsu selepas empat bulan kejadian... ketika itu, saya tetap bertugas bersama ATM di bahagian pentadbiran.

Beliau berkata, selepas itu beliau meminta untuk ‘masuk’ ke hutan semula meskipun dengan kaki palsu kerana ia sebahagian darah dagingnya.

Katanya, perkataan trauma atau serik tidak pernah wujud dalam kamus dirinya malah sejak kejadian itu, semangat mempertahankan negara semakin menebal dalam hati.

“Justeru, saya tidak faham mengapa generasi muda sekarang tidak mempunyai semangat patriotik seperti orang lama seperti kami ini.

“Sepatutnya mereka kena lebih menjaga dan sayangkan negara kerana usaha mencapai kemerdekaan dan mempertahankan keamanan negara bukan mudah,” katanya.

Disiarkan pada: August 30, 2018 @ 10:14am
d