utama

Rokok seludup mudah masuk ikut pelabuhan [METROTV]

Oleh Skuad Khas Harian Metro

Perai: Sindiket penyeludupan rokok ‘berlesen’ dikesan berselindung di sebalik kegiatan mengeksport rokok ke negara jiran dengan menjadikan pelabuhan Pulau Pinang sebagai hab ‘lubuk emas’ bagi meraih keruntungan puluhan juta setahun.

Untuk rekod, rokok yang dimport dari beberapa negara seperti Taiwan, Vietnam, Kemboja dan Indonesia itu dikatakan akan dieksport pula ke Hatyai, Thailand menggunakan laluan darat seperti Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Padang Besar, Perlis.

Namun, dengan bantuan segelintir pegawai penguat kuasa tidak berintegriti dan ejen perkapalan, rokok yang sepatutnya keluar dari negara ini untuk kononnya dieksport, sebaliknya dilencongkan untuk pasaran tempatan yang dikatakan menguasai 10 peratus pasaran jualan rokok seludup keseluruhan di utara.

Bagi mengabui mata pihak berkuasa, ada rokok berkenaan dipasarkan untuk kedai bebas cukai di sekitar sempadan dan Pulau Langkawi.

Sindiket ini mendaftarkan perniagaan mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan memiliki pengerusi dan ahli lembaga pengarah tertentu serta perniagaan mereka adalah sah di sisi undang-undang tetapi disebabkan ada lompang dan kawtim yang dilihat mampu mengelak cukai, mereka ini aktif menjalankan kegiatan berkenaan.

Dalam erti kata lain, cukai yang dibayar tidak memadai atau setimpal dengan cukai yang dielak.

Kaedah ataupun modus operandi terkini itu digelarkan sindiket dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sebagai ‘borang terbang’.

Bagi merungkai istilah borang terbang itu, Skuad Khas Harian Metro ke utara tanah air menemu bual orang yang terbabit secara langsung dalam kegiatan penyeludupan rokok secara ‘halal’ ini.

Menurut sumber, istilah borang terbang memang popular dalam kalangan sindiket penyeludupan rokok.

“Kegiatan ini jelas membabitkan integriti pegawai agensi berkaitan. Jika tidak, perkara sebegini tidak boleh berlaku kerana setiap kontena masuk dan keluar pelabuhan dipantau melalui sistem yang boleh mengesan jika ada kepincangan,” katanya ketika ditemui di satu lokasi yang tidak boleh didedahkan.

Memperincikan apa itu borang terbang, sumber itu berkata, sindiket akan mengimport rokok dari negara luar dengan ‘tujuan’ untuk dihantar ke Thailand menggunakan pelabuhan Pulau Pinang.

“Sindiket mengikut prosedur yang betul dengan menggunakan borang Kastam 8 (K8). Jadi, dengan pengisytiharan ini, tiada sebarang kesalahan semasa kontena itu meninggalkan pelabuhan Pulau Pinang.

“Kontena itu kemudian dibawa menggunakan treler ke gudang di lokasi tertentu di luar pelabuhan sebelum rokok berkenaan dipindahkan ke lori kecil kononnya untuk diedarkan ke Hatyai melalui pintu sempadan seperti Padang Besar atau Bukit Kayu Hitam.

“Dalam pelabuhan Pulau Pinang tiada gudang, jadi ejen perkapalan dan syarikat perlu menarik keluar kontena milik mereka sebaik tiba di pelabuhan.

“Di sinilah kawtim berlaku di mana, rokok itu tidak keluar pun dari Malaysia sebaliknya dihantar ke lokasi lain. Hanya borang K8 itu sahaja sampai ke pintu sempadan sebelum direkodkan dalam sistem Kastam memaklumkan kontena itu sudah keluar dari Malaysia. Inilah borang terbang,” katanya.

Katanya, borang terbang tidak boleh berlaku sekiranya tidak membabitkan pegawai kastam.

“Ikut SOP biasa, pegawai kastam yang terima borang itu perlu periksa kontena sebelum melepaskannya keluar dari Malaysia.

“Sindiket sudah ada rangkaian tertentu yang mana pegawai tertentu bersekongkol dengan mereka. Ia sudah bertapak lama,” katanya tanpa mendedahkan berapa lama kes borang terbang sudah berleluasa di kawasan sempadan negara.

Katanya, JKDM Pulau Pinang yang mengawal pelabuhan lebih mudah mengenakan tindakan kepada sindiket yang membuat pengisytiharan palsu.

“Isytihar palsu senang. Contoh bawa masuk rokok tetapi isytihar penyapu...dengan memeriksa berat kita boleh kesan penipuan ini, kita boleh tahan dan rampas barangan itu.

“Tetapi dengan borang K8, pemilik kontena sudah mereka mengikut peraturan dengan mengisytiharkan barangan yang dibawa,” katanya.

Ditanya adakah pihaknya pernah memeriksa alamat pengeksport di Thailand seperti dalam borang K8, sumber itu berkata, lokasi atau alamat diberikan dalam borang itu adalah palsu.

“Kami sudah menjejaki alamat tertera dalam borang K8 dan mendapati alamat yang dimaksudkan bukan gudang rokok sebaliknya hanya rumah kediaman,” katanya.

Skuad Khas juga menjejaki dua lokasi syarikat tempatan yang menjalankan operasi mengeksport rokok di Perlis dan kedatangan kami ke alamat syarikat berkenaan disedari kakitangan atau kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di hadapan gudang berkenaan menyebabkan pintu pagar automatik secara tiba-tiba tertutup.

Ketika itu, kelihatan sebuah jentera pengangkat sedang meletakkan beberapa timbunan kotak dipercayai rokok ke dalam lori. Sama ada ia untuk pasaran tempatan atau eksport amat diragui kerana difahamkan, tiada satu pun rokok yang dieksport ke negara jiran sebaliknya rokok berkenaan dihantar ke Langkawi atau Kelantan.

Syarikat terbabit juga menjalankan perniagaan restoran dan ini membolehkan mereka turut mengimport minuman keras.

Minuman keras yang diimport ini juga dipercayai turut ‘dieksport’ ke pusat hiburan di Dannok dan Hatyai kerana boleh dikatakan bekalan berkenaan diperoleh melalui Kedai Bebas Cukai.

Dalam perkembangan sama, seorang ejen penyeludupan rokok seludup dikenali sebagai Ah Bau memberitahu Skuad Khas Harian Metro bahawa, sindiket membayar RM80,000 kepada pegawai kastam bagi satu kontena rokok yang selamat tiba di lokasi.

“Jumlah itu akan dibahagikan kepada pegawai kastam. Selalunya, mereka ini bergerak secara berkumpulan bersama sindiket penyeludupan,” katanya.

Menjawab soalan wartawan ke mana rokok itu dibawa, Ah Bau berkata, ada beberapa gudang tertentu sekitar Padang Besar dan Bukit Kayu Hitam digunakan mereka bagi menyimpan rokok.

Ah Bau berkata, ada juga rokok yang dibawa masuk melalui pelabuhan Pulau Pinang terpaksa keluar dari Malaysia.

“Contohnya sekiranya operasi sedang giat dilaksanakan, rokok itu akan keluarlah dari Malaysia. Simpan dulu di gudang tertentu di Thailand sebelum masuk semula ke Malaysia,” katanya.

Warta akta baharu beri hukuman lebih berat

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam peringkat akhir mewartakan Akta Kastam yang baru mengandungi hukuman lebih berat termasuk hukuman penjara mandatori khususnya bagi mengekang kegiatan penyeludupan termasuk rokok.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, berdasarkan Akta Kastam yang diperkemaskan itu kelak hukuman ke atas pelaku salah adalah lebih berat berbanding penalti sedia ada.

Malah, pewartaan akta yang baharu itu bakal membolehkan hukuman penjara menjadi mendatori bagi kesalahan tertentu.

“JKDM dalam peringkat terakhir untuk mewartakan Akta Kastam yang baharu. Berkaitan aspek penalti ke atas kesalahan-kesalahan mengikut Akta Kastam, hukuman ke atas pelaku adalah lebih berat berbanding penalti sedia ada. Hukuman penjara menjadi mendatori bagi kesalahan tertentu,” katanya dalam satu jawapan bertulis kepada Harian Metro.

Beliau berkata, JKDM juga merangka dan melaksanakan strategi jangka pendek untuk mengekang ketirisan hasil akibat kegiatan penyeludupan termasuk menggiatkan Op Pelabuhan, Op Sempadan, Op Pagar, Op Outlet, Op Marin serta lain-lain.

Menurutnya, operasi interagensi bersama-sama agensi penguatkuasaan juga dilaksanakan selain Ops Bersama negara asing contohnya PATKOR KASTIMA dengan Direktorat Bea Cukai Indonesia, Crocodile Project bersama Australian Border Force (ABF) dan DEMETER PROJECT Bersama World Customs Organisation (WCO).

“Mengenai siasatan dalaman agensi, statistik 2017 menunjukkan sebanyak 58 kesalahan tatatertib oleh warga JKDM direkodkan dan selesai diambil tindakan.

“Antara jenis hukuman dikenakan kepada warga JKDM yang terbabit denda, Pelucutan Hak Emolumen, Tangguh Pergerakan Gaji, Turun Gaji, Turun Pangkat, Buang Kerja dan Surcaj.

“Daripada 58 kes berkenaan, lima kes membabitkan kes rasuah sudah selesai disiasat,” katanya.

Sementara itu, sumber berkata sebanyak 104 syarikat dibenarkan untuk menjalankan perniagaan mengimport rokok ke negara ini bagi memenuhi pasaran tempatan membabitkan 95 peratus penguasaan.

“Persoalan timbul apabila data anggaran merekodkan sebuah syarikat tempatan menjual lebih satu bilion batang setahun dengan sticker ‘Cukai Sudah Dibayar’ didapati palsu manakala 200 juta batang sahaja yang dipek dengan pelekat tulen,” katanya.

Selain itu, usaha untuk mengekang penyeludupan dan perdagangan haram harus dijadikan keutamaan kerajaan baru Pakatan Harapan yang berjanji untuk menangani masalah itu melalui kawalan ketat di sempadan dan hukuman berat.

Tetapi seperti banyak janji baharu kerajaan, persoalaannya bagaimana mereka mahu menyelesaikannya.

Dengan keinginan politik, sudah tiba masanya kerajaan mengambil langkah radikal termasuk menyasarkan laluan utama perdagangan haram secara serius.

Disiarkan pada: August 30, 2018 @ 10:44am
d