utama

SST: Nilai ambang RM1.5 juta

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

KERAJAAN bersetuju menaikkan nilai ambang bagi semua kedai makan dan restoran termasuk restoran nasi kandar serta kedai kopi untuk dikenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) daripada RM500,000 kepada RM1.5 juta setahun.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, keputusan itu dibuat selepas menerima maklum balas daripada pengusaha restoran terutama di Lembah Klang yang menanggung kos perniagaan yang tinggi.

Namun katanya, peningkatan nilai ambang itu adalah yang terakhir akan diberikan oleh kementerian.

“Selepas terima permohonan daripada banyak pihak termasuk pengusaha restoran nasi kandar supaya menaikkan nilai ambang yang dikenakan sebelum ini sebanyak RM500,000.

“Kita berhasrat naikkan kepada RM1 juta tetapi mereka (pengusaha) tolak dan minta naikkan sehingga RM3 juta tetapi kerajaan buat keputusan supaya nilai ambang ditetapkan pada kadar RM1.5 juta,” katanya ketika berucap pada Taklimat SST Kepada Media di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri T Subromaniam dan Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Roslan Mahyudin.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, peningkatan kadar ambang itu dilaksanakan bagi memastikan tidak berlaku sebarang kenaikan harga makanan di semua restoran dan kedai makan.

“Saya harap rakyat akan jadi mata dan telinga kepada kerajaan jika mendapati berlaku peningkatan harga makanan di restoran-restoran ini.

“Kalau ada masalah boleh lapor kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk diambil tindakan," katanya.

Disiarkan pada: August 30, 2018 @ 11:42am
d