utama

Tergilis anak

Oleh Muhamaad Razis Ismail

KANAK-KANAK lelaki berusia dua tahun maut selepas digilis kereta yang dipandu bapanya di hadapan sebuah restoran di Jalan Kota Bharu di Kota Bharu, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, mangsa Muhammad Rayyan Rizqi Mohd Fakhrul Zaman maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Mayat dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II ( HRPZ II) Kota Bharu untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, ketika kejadian, mangsa bersama ibu bapanya baru selesai makan di sebuah restoran.

Katanya, mereka kemudian ke tempat letak kereta untuk pulang ke rumah.

“Mangsa dan bapanya berusia 38 tahun masuk ke dalam kereta Proton Iriz sebelum dia diletakkan di tempat duduk penumpang depan . Mangsa dilihat menyandar di pintu hadapan sebelah kiri.

“Ibu mangsa yang berada di luar kemudian membuka pintu sebelum mangsa terjatuh ke luar kereta.

“Bapanya yang terkejut sebelum cuba menyelamatkan anaknya itu tertekan pedal minyak dan menggilis mangsa.

“Pada masa sama, kereta mangsa bergesel dengan kereta Proton Pesona yang diparkir di sebelah kiri namun pemandunya tidak cedera,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, bedah siasat akan dilakukan pagi ini.

“Kes disiasat Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: August 31, 2018 @ 10:42am
d