utama

Tiada kaitan komen negatif

Oleh Georgie Joseph

Antara ramai-ramai bintang pop pujaan dunia sekarang, Alessia Cara satu-satunya paling kurang dihambat kontroversi.

Alessia, 22, yang berasal dari Kanada terus membuktikan perjuangannya dalam bidang muzik bersandarkan kepada bakat semata-mata. Dia jarang dikaitkan dengan sebarang kisah panas melainkan muziknya.

Bagaimanapun, awal tahun ini mengubah perjalanan karier seninya selepas memenangi trofi Artis Baru Terbaik pada Grammy Awards 2018.

Menewaskan calon kegemaran termasuk Khalid, ramai juga yang tidak berpuas hati dengan kemenangannya.

Alessia ketika ditemu bual Bling! baru-baru ini berkata, dia mengakui sedikit terkesan dengan insiden itu. Namun, dia bersyukur kerana perkara itu menjadikan dia lebih kuat dan terus positif.

“Sakit juga apabila mengetahui orang tidak sukakan kita. Bagaimanapun, saya ambil ia sebagai pengajaran yang berharga untuk terus maju dengan semangat positif,” katanya.

Kini rancak mempromosikan lagu barunya berjudul Growing Pains, ramai mengandaikan Alessia menulis lagu itu selepas insiden berkenaan.

Lagu berkenaan seakan-akan ada kaitan dengan kesakitan yang dialaminya gara-gara komen negatif dilemparkan terhadapnya.

Alessia tidak menolak insiden itu sedikit sebanyak mempengaruhi penulisan lagu itu. Namun, dia menafikan lagu berkenaan ditulis khas mengenai episod duka itu.

“Saya tulis Growing Pains bukan disebabkan insiden itu. Saya mula mengarang sebelum berlangsungnya Grammy Awards.

“Saya sebenarnya mahu bercerita mengenai kesakitan yang mencengkam diri dari semasa ke semasa. Saya menulisnya mengikut peredaran emosi apabila pada satu tahap saya hilang rasa terhadap banyak perkara disebabkan terlalu sibuk bekerja.

“Sampai satu masa, saya memutuskan untuk tulis mengenainya dan kongsikan kepada dunia. Itu saja cara untuk membuat pengakuan sambil melepaskan kesakitan itu. Saya mahu semua orang tahu kita berdepan penderitaan masing-masing dan itu perkara normal,” katanya.

Akui agak tertekan hasilkan album baru

Pada awal kemunculannya dulu, Alessia mendapat perhatian selepas lagunya termasuk Wild Things dan Scars To Your Beautiful mendapat pujian.

Album pertamanya berjudul Know-It-All ternyata menjadi dan berjaya.

Disebabkan itu, penyanyi berkenaan mengakui sedikit tertekan untuk menghasilkan album seterusnya. Kini dalam proses untuk menyiapkan album kedua, dia bagaimanapun tidak mahu dibelenggu tekanan itu.

“Memang ada sedikit tekanan untuk hasilkan album kedua apatah lagi ramai yang menantikan karya saya. Berbanding album pertama dulu, tiada apa perlu dibimbangkan ketika itu.

“Namun, rasa seronok lebih mengatasi semuanya apabila mendapat tahu peminat memang menantikan album itu. Jadi, saya tidak mahu terlalu fikirkan tekanan itu sebaliknya lebih teruja menganggapnya sebagai lembaran baru dalam kerjaya,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai album akan datang itu, Alessia berkata, lagunya lebih matang. Dia juga mahu kekalkan konsep lagu yang menyuntik motivasi kepada pendengar.

“Sesiapa juga yang suka dan tahu muzik saya, pasti akan lebih suka album itu. Saya boleh katakan album lebih matang daripada lirik dan muziknya serta kali ini lebih terbuka.

“Liriknya kebanyakan berat namun saya seimbangkan dengan rentak yang lebih ringan. Ia memberikan pendengar harapan, menaikkan semangat, menenangkan kita dan memotivasikan diri,” katanya.

Dalam pada rancak mengembangkan karier muziknya, Alessia bersyukur dia dapat melihat transisi yang bagus dalam hidupnya.

“Beberapa tahun kebelakangan ini, transisi besar berlaku dalam diri saya. Saya cuba berusaha mencari diri saya yang sebenar di luar bidang muzik.

“Saya banyak bersendirian dan ketika itulah saya lebih mengenal diri. Saya dapati ia adalah cabaran harian yang ditempuhi semua orang iaitu mencari apa yang kita mahu dalam hidup,” katanya.

Banyak menghasilkan lagu yang bukan berunsur percintaan, Alessia rupanya ragu-ragu untuk berkongsi lagu cinta dalam arkibnya.

“Sebenarnya saya banyak tulis lagu cinta berbanding lagu yang saya lancarkan untuk pendengar. Tapi saya bimbang ia terlalu peribadi dan tidak berani kongsikannya.

“Semestinya saya akan lebih terbuka untuk menulis lagu cinta jika mengalaminya sendiri nanti. Konsepnya masih sama, saya akan tulis apa saja yang berlaku dalam hidup dan benar-benar berlaku kepada saya,” katanya.

Disiarkan pada: September 1, 2018 @ 5:35am
d