utama

Setem RM5,000

Oleh Mohamed Farid Noh

Batu Pahat: Umpama muzium, itu ungkapan bersesuaian bagi sesiapa saja yang melangkah masuk ke rumah bekas tukang kebun sekolah yang menyimpan lebih 1,000 pelbagai barangan antik di rumahnya di Taman Banang, dekat sini.

Minat mendalam Kamarulzaman Nong Chik, 69, mendorongnya menghiasi kediamannya dengan pelbagai koleksi barangan lama seperti kamera, telefon lama, pen, kotak mancis, keris dan barangan tembaga termasuk alat menghisap candu tembaga antik yang dihadiahkan rakan.

Kamarulzaman kini banyak menghabiskan masa terluang dengan menjaga, membersih dan membelek barangan antik itu setiap hari untuk kepuasan diri.

Selain itu, dia juga menyimpan koleksi album setem lama termasuk siri setem antik Malaya dan setem Malaya-Singapura yang dipercayai bernilai tinggi serta sukar diperoleh malah ada koleksi setem Universal Postal Union Malaya-Singapore 1874-1949 yang pernah ditawarkan RM5,000 sekeping, selain setem Malaya 1958 yang mahu dibeli dengan harga RM1,500 sekeping.

Kamarulzaman mengakui pernah ditawar RM50,000 untuk koleksi satu album setem lamanya termasuk siri setem antik Malaya serta setem Malaya-Singapura miliknya.

Bagaimanapun, dia menolak tawaran itu dengan baik berikutan amat sayangkan koleksi setem lama Malaya dan Singapura yang tersimpan rapi sejak lebih 30 tahun lalu.

Katanya, sejak dua tahun lalu peminat setem termasuk dari Singapura memujuknya menjual koleksi setem miliknya yang disifatkan sebagai antik, jarang dijumpai dan sangat berharga, namun beliau belum mahu menjualnya.

“Saya mula mengumpul setem sejak usia 30 tahun dengan menanggalkan setiap setem surat yang diterima saya dan keluarga dengan berhati-hati dan menjaga setiap koleksi setem dengan baik hingga sekarang.

“Koleksi setem Malaya yang saya simpan paling mendapat perhatian peminat setem termasuk setem negeri Malaya sebelum merdeka, setem Johore Postage & Revenue, setem Malaya Selangor mengenai pemahkotaan Queen Elizabeth 1953 dan setem kemerdekaan Malaya,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Kamarulzaman juga menyimpan hampir semua siri setem dikeluarkan Pos Malaysia termasuk koleksi setem Perdana Menteri Malaysia termasuk Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn, Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Dr Mahathir Mohamad selain setem memaparkan wajah Raja Melayu.

Disiarkan pada: September 1, 2018 @ 5:40am
d