utama

[UPDATE] Penuntut UiTM, pemandu bas maut

Oleh Muhammad Apendy Issahak

KEMALANGAN maut membabitkan bas ekspres dua tingkat di Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Batu Gajah Perdana, hari ini mengorbankan nyawa pemandu dan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar.

Dua mangsa yang maut adalah pemandu bas, Mohamad Azizul Che Aziz, 31, dan penumpang, Munzirah Jalaludin, 20, penumpang yang juga penuntut UiTM Seri Iskandar.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintendan Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian kira-kira 5 pagi itu membabitkan bas dengan 38 penumpang dan dua pemandu.

“Siasatan awal mendapati bas berkenaan dalam perjalanan dari Kota Bahru ke Lumut dan ketika sampai di Kilometer 12.5 Jalan Ipoh-Lumut , Batu Gajah dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar batu pembahagi jalan.

“Akibat kemalangan itu pemandu bas dan seorang penumpang perempuan meninggal dunia di tempat kejadian serta beberapa penumpang lain mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi di Ipoh, hari ini.

Menurutnya, pemandu bas yang maut beralamat di Kampung Sungai Perupok, Bachok, Kelantan, manakala penumpang berkenaan pula beralamat Taman Desa Johan Lubok Jong, Pasir Mas, Kelantan.

“Penumpang yang maut itu adalah penuntut UiTM Seri Iskandar, dekat sini yang menuntut dalam jurusan diploma hartanah tahun ketiga,” katanya.

Kemalangan itu turut menyebabkan 15 penumpang lain cedera.

Ahmad Adnan berkata kesemua mangsa dibawa ke Hospital Batu Gajah untuk rawatan dan tindakan lanjut.

Berita berkaitan:

2 maut, 15 cedera nahas bas ekspres

Disiarkan pada: September 2, 2018 @ 10:59am
d