utama

Hentak, tetak, kelar dua beradik

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

TIDAK berpuas hati akibat ditegur keluarga murid tahfiz yang diajar, tujuh lelaki warga Myanmar termasuk ustaz sekolah tahfiz di Ampang Campuran, Selangor bertindak kejam menghentak dua beradik lelaki etnik Rohingya dengan tukul besi sehingga maut.

Dalam kejadian pada 11 pagi Jumaat lalu di Tingkat Tiga, Blok 20, Taman Wilayah, Kuala Lumpur, tujuh lelaki berkenaan turut menetak serta mengelar mangsa iaitu Chaw Kat Ali Imran Ali, 33, dan Mohamed Ali Imran Ali, 45, di seluruh badan.

Kejadian dikatakan berpunca apabila salah seorang daripada tujuh suspek berdendam dengan keluarga mangsa yang sebelum ini mempertikaikan tindakan pengajar di sekolah tahfiz berkenaan menampar anaknya pada awal Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy berkata, kerana tidak berpuas hati, ustaz berkenaan datang bersama enam lelaki warga Myanmar ke rumah anak murid mereka di Blok 20, Taman Wilayah.

Katanya, tidak dapat dipastikan sama ada semua suspek datang untuk berbincang, namun berdasarkan siasatan awal, mereka didapati turut membawa beberapa senjata tajam dan mungkin mempunyai motif untuk membunuh.

“Ketika kejadian, suspek datang ke rumah untuk mencari bapa murid mereka iaitu Mohamad Yusof.

“Namun, mereka terserempak dengan dua adik beradik Mohamad Yusof iaitu Chaw Kat Ali dan Mohamed Ali.

“Pada awalnya, perbualan mereka dalam keadaan baik sebelum tiba-tiba kumpulan tujuh lelaki itu menyerang kedua-duanya menggunakan beberapa senjata yang disembunyikan dalam jubah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Munusamy berkata, turut berada di lokasi ketika kejadian adalah anak saudara mangsa iaitu Shahwanar Mohamad Yusof, salah seorang isteri mangsa yang dikenali sebagai Halimah serta seorang adik beradik mangsa iaitu Mohamad Yusof.

Katanya, tujuh suspek berkenaan hanya menyerang dua mangsa dan melarikan diri sebaik beberapa penduduk di situ keluar melihat kejadian.

“Ketujuh-tujuh suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Avanza berwarna hijau dan sebuah Proton Waja berwarna perak selepas melihat beberapa penduduk di situ keluar melihat kejadian.

“Kedua-dua mangsa yang masih bernyawa ketika itu kemudian dihantar ke Hospital Selayang oleh penduduk bagi mendapatkan rawatan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, mangsa pertama iaitu Chaw Kat disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital sebaik tiba manakala Mohamed Ali disahkan meninggal dunia pada 9 malam hari sama.

“Bertindak atas kejadian itu, polis menahan seorang lelaki warga Myanmar di Ampang pada 5 petang hari kejadian dan masih memburu enam suspek yang terbabit kejadian berkenaan.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Jenazah dua beradik itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Lagong, Gombak, hari ini.

Disiarkan pada: September 2, 2018 @ 6:30pm
d