utama

Terpegun keindahan Taiwan

Oleh Ardini Sophia Sina

Dipilih sebagai Duta Pelancongan Taiwan, pelakon dan pengacara jelita Mira Filzah gembira dan berbesar hati kerana diberikan kepercayaan menggalas tanggungjawab berkenaan.

Gadis yang popular dengan drama Rahsia Hati Perempuan ini menerima tawaran berkenaan kerana dia individu yang gemar melancong melihat keindahan negara lain.

“Saya mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan pihak pelancongan Taiwan dan menjadikan saya sebahagian daripada individu yang mempromosikan Taiwan sebagai destinasi percutian mesra Islam.

“Seperti yang semua orang tahu, saya memang gemar melancong dan menikmati keindahan negara lain. Itu antara sebab saya terima tawaran berkenaan ,”katanya.

Sejujurnya, Mira tidak pernah meletakkan negara itu sebagai destinasi percutian.

Katanya, selama ini dia beranggapan tarikan Taiwan hanya di kawasan bandar saja.

Bagaimanapun, ketika menjalani penggambaran komersial televisyen Salam Taiwan, Mira terkejut dan mulai mencintai destinasi berkenaan.

Malah, dia bercadang kembali ke sana untuk merasai sendiri keindahan dan keseronokan bersama peminat serta keluarga.

“Penggambaran komersial Salam Taiwan adalah kali pertama saya menjejakkan kaki di negara itu. Saya terkejut melihat keindahan dan aktiviti menyeronokkan yang boleh dilakukan di sana.

“Tidak semua tempat kami sempat lawati. Antara lokasi yang menarik sepanjang penggambaran adalah Padang Rumput Qingtiangang. Tempat itu sangat cantik dan mengagumkan,” katanya.

Kempen Salam Taiwan itu adalah program mengajak rakyat Malaysia dan Brunei terutama mereka yang beragama Islam menjadikan Taiwan sebagai destinasi percutian.

Ia mengetengahkan kemudahan untuk pelawat Islam seperti restoran, tempat penginapan, barangan kosmetik dan penjagaan kulit yang disahkan halal.

Malah, ruang solat turut disediakan di tempat awam bagi memudahkan pengunjung Islam beribadat.

Selain tanggungjawabnya sebagai duta, Mira turut menjalani penggambaran Lelaki Kiriman Tuhan di Kedah dan dijangkakan selesai pada penghujung bulan hadapan.

“Sekarang ini saya sibuk dengan penggambaran drama yang 100 peratus dijalankan di Kedah. Pada masa sama, saya ada penggambaran Nona setiap Selasa. Buat masa ini, begitulah kehidupan saya. Berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Kedah,” katanya.

Menerusi drama Lelaki Kiriman Tuhan, Mira buat pertama kali berganding dengan Remy Ishak sebagai pasangannya.

Mengakui rasa takut berlakon dengan pelakon berpengalaman itu, Mira bagaimanapun mudah mencari keserasian.

Katanya, dia melihat Remy sebagai pelakon yang serius dan kelihatan garang. Namun, hakikatnya lelaki itu tidak seperti yang dibayangkan malahan ada sifat kelakar.

“Mula-mula memang rasa risau dan takut sebab nampak Remy seorang yang serius, garang dan ‘method’. Tapi, sebenarnya dia bukanlah begitu. Dia sangat baik dan membantu dalam lakonan saya,” katanya.

Disiarkan pada: September 3, 2018 @ 9:11am
d