utama

Sissy temui jawapan

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Sepanjang lima tahun pembabitan dalam bidang nyanyian, penyanyi Sissy Imann mengakui keliru dengan kehendak peminat muzik tempatan.

Namun, selepas tersingkir daripada program Big Stage, Sissy, 22, atau nama sebenarnya Imann Mohammad Kamil berkata, dia mengambil keputusan mengekalkan identiti muzik dan diri sendiri.

Apatah lagi, penyingkiran Sissy ketika menyanyikan lagu dangdut Senggol Senggolan Cubit Cubitan itu membuka mata ramai penggiat seni tempatan seperti Fauziah Ahmad Daud dan Faizal Tahir terhadap bakatnya.

Lebih membanggakan apabila peminat mula menerima dan menghargai kehadiran Sissy selain mengharapkan lulusan Pendidikan Muzik Pendidikan Rendah di Institut Pendidikan Guru (IPG) Ilmu Khas, Cheras itu terus berkarya dengan muzik segar.

“Saya gembira dengan semua maklum balas diberikan. Diakui sepanjang tempoh pembabitan sebagai penyanyi, kadang-kadang saya keliru sama ada nak jadi diri sendiri atau mengikut trend.

“Namun, apabila dapat kata-kata semangat daripada orang kuat industri hiburan seperti Kak Ogy dan Faizal Tahir, ia bermakna ada pihak masih boleh terima diri dan muzik yang dibawakan. Malah, ramai lagi inginkan saya jadi lebih baik pada masa akan datang.

“Saya masih sedar diri yang ada masalah dari segi nyanyian. Saya bukan penyanyi sempurna. Sejak terbabit dalam program berkenaan, ramai mula terima. Paling penting, kalau tidak terkeluar mungkin saya masih keliru,” katanya.

Sissy yang popular menerusi lagu Mungkin Kamu mengakui sepanjang lima tahun itu dia juga tidak yakin untuk mengikut trend lagu dan kehendak peminat.

“Penerimaan orang berbeza. Malah, sebelum muncul dalam industri muzik, bekas syarikat rakaman inginkan saya menyanyi lagu balada atau jiwang meleleh. Namun, saya masih pertahankan muzik ini.

“Alhamdulillah, beberapa lagu saya dipilih menjadi lagu tema drama. Namun, dari segi persembahan diakui saya bukan kegemaran penonton untuk mendapat sorakan dan tepukan gemuruh. Jika mahu dibandingkan dengan penyanyi Budak Baru Nak Up (BBNU) memang jauh sekali.

“Jadi, saya anggap masih ramai tidak faham muzik saya. Pada masa sama, saya berfikir apa sebenarnya yang diinginkan peminat muzik. Sekarang saya sudah dapat jawapannya,” katanya.

Baru diminati

Sissy juga berkongsi, sepanjang pembabitannya dalam program itu baru dia merasai betapa indahnya menjadi penyanyi apabila mendapat sokongan dan disayangi peminat.

Sissy berkata, sepanjang lima tahun, ini kali pertama dia berasakan dirinya dihargai peminat terutama selepas melihat kesanggupan mereka datang memberikan sokongan setiap minggu.

“Jika dibandingkan dengan penyanyi lain, saya paling sedikit peminat. Malah, jumlah pengikut di Instagram pun sikit iaitu 30,000 dan sekarang meningkat kepada 60,000. Cuma, tujuan menyertai program ini adalah untuk berkongsi bakat. Walaupun saya tahu ia ambil masa untuk buat orang terima.

“Alhamdulillah, ia tidak seperti difikirkan. Orang mula terima secara perlahan-lahan. Bagi saya, ia sudah memadai. Biar lambat, asal saja penerimaan mereka tepat. Tidak dinafikan juga, baru ada yang mengenali saya.

“Sokongan peminat buat saya terharu. Ada yang sanggup datang dari Miri, Sarawak setiap minggu. Apabila terkeluar, saya melihat kekecewaan pada wajah mereka. Sebelum ini saya tidak pernah merasai semua ini. Baru kali ini saya rasa macam mana orang lain lalui. Saya berasa lebih dihargai,” katanya.

Mengenai kerjaya seninya, Sissy berkata dia sudah tamat kontrak dengan syarikat rakaman FMC Music.

Namun, khabar gembira buat Sissy apabila dia dilamar tujuh syarikat rakaman untuk mengurus dan mengembangkan lagi kerjaya seninya.

“Alhamdulillah, saya mendapat tawaran daripada banyak syarikat rakaman. Semuanya cukup terkenal. Cuma, saya belum membuat keputusan. Saya dan ibu bapa perlu teliti satu persatu.

“Saya tidak mahu main ambil saja semata-mata untuk meneruskan kerjaya seni. Perjalanan saya masih panjang, jadi segalanya perlu dirancang sebaik mungkin. Dalam perkara ini, banyak perkara perlu diambil kira,” katanya.

Selain itu, Sissy juga bakal muncul dengan single terbaru yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

“Lagu sudah ada cuma belum tentukan sama ada ia nyanyian solo atau duet. Insya-Allah, lagu ini akan keluar tahun ini juga.

“Apa yang pasti, ia masih kekal dengan muzik sebelum ini. Saya tidak boleh tukar jadi lain. Cuma, saya ambil kira pandangan orang ramai dan disesuaikan dengan pasaran semasa.

“Bagi saya, lagu baru ini kena buat pilihan tepat. Saya kena buktikan ini muzik yang dibawa dan boleh diterima seperti yang dipersembahkan sebelum ini,” katanya.

Disiarkan pada: September 3, 2018 @ 9:24am
d