utama

Segak bertanjak di KLCC

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: “Biarlah orang kata kami manusia ganjil kerana memakai busana di kompleks membeli-belah terkemuka seperti Suria KLCC ini.

“Apa yang kami ingin sampaikan ialah orang Melayu kaya dengan budaya dan busana ini adalah salah satu daripadanya. Insya-Allah, setiap tahun pada tanggal 31 Ogos, kami akan pakai begini ke mana saja kami pergi,” kata Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Zambri Mohd Isa.

Jumaat lalu, ketika orang ramai bersesak-sesak di pusat membeli-belah terkemuka itu, dia bersama rakan daripada lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mencuri tumpuan pengunjung apabila mengenakan busana Melayu lengkap bertanjak bersiar-siar di situ.

Mereka turut mengadakan pertunjukan seni mempertahankan diri di satu kawasan lapang yang mendapat sambutan daripada orang ramai termasuk pelancong asing.

“Menerusi perbincangan bersama GPMS Wilayah Persekutuan, Pertubuhan Panca Delima Merah Malaysia, Gabungan Fikratul Insaniah Wilayah Tengah, Pertubuhan ARMADA Melayu, Pertubuhan Al Fatih Malaysia dan Pertubuhan Dar Asnaf Al Fateeh Al Idrisiah Selangor, kita sepakat untuk memakai busana ini.

“Ia sebagai simbolik keunikan orang Melayu yang pernah menjadi bangsa dihormati sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Jadi kita perlu teruskan, tidak perlu rasa malu kerana ini jati diri kita,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Zambri berkata, dengan tema Berbusana Merdeka, ia akan dijadikan acara tahunan bagi menyambut bulan kemerdekaan dan berharap lebih banyak penyertaan daripada NGO lain serta masyarakat.

Menurutnya, walaupun tampak janggal di mata sesetengah pihak namun ia bukan penghalang untuk dia dan rakan mempromosikan pakaian itu kerana percaya ia akan mendapat tempat khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Kita tengok orang Arab, mereka ada jubah dan ia terkenal di seluruh dunia. Orang Melayu juga patut begitu kerana ini jati diri bangsa sendiri.

“Ada juga yang berminat, ajak bergambar dan berkongsi pandangan mengenai busana ini. Pada saya, ia satu permulaan baik dan kita akan teruskan,” katanya.

Disiarkan pada: September 3, 2018 @ 10:07am
d