utama

Ara tolak buat gimik

Oleh Najiy Jefri

Ara Johari menolak untuk melakukan gimik sebagai strategi untuk menarik perhatian orang ramai terhadap lagu baru yang ingin diperkenalkan.

Ara berkata, sebagai penyanyi dia lebih selesa jika pendengar tertunggu-tunggu produk baru yang ingin dibawakan berbanding mencipta gimik yang akhirnya akan memudaratkan diri.

“Secara peribadi saya menolak untuk melakukan gimik. Saya lebih suka jika peminat tertunggu-tunggu lagu baru saya.

“Lagipun, saya tidak suka membaca komen mengatakan gimik dibuat adalah ‘bodoh’ atau tidak menjadi. Jadi, lebih baik percaya dengan kemampuan sesebuah lagu yang dibawakan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Teh Tarik Place francais kedua di Selayang, Selangor, baru-baru ini.

Pada majlis itu Ara menghiburkan lebih 500 tetamu dengan menyampaikan tiga lagu termasuk dua single yang mendapat perhatian iaitu Bunga dan Warkah Untukku.

Menurut Ara, walaupun ramai rakan artis seangkatan melakukan gimik, Ara berpandangan sesetengah artis ini tidak yakin dengan lagu mereka.

“Saya rasa individu yang memilih melakukan gimik ini ialah mereka tidak yakin dengan lagu yang dibawakan.

“Disebabkan itu mereka memilih jalan itu sebagai cara untuk meraih perhatian umum,” katanya.

Walaupun ada pihak memintanya melakukan gimik, Ara seboleh-bolehnya cuba menolak kerana bukan mudah untuk melakukan gimik yang bijak.

“Ada yang minta saya lakukan gimik dan begitu juga sebaliknya. Namun, saya memilih untuk tidak melakukan kerana bukan mudah untuk mencari gimik yang bijak supaya peminat tidak benci.

“Kalau gimik seperti gosip bercinta atau mengalami tekanan jiwa yang dilakukan sesetengah artis sudah terbukti mendapat kecaman teruk kerana dikatakan berbohong.

“Jadi seelok-eloknya kita yakin dengan diri sendiri. Biarlah lagu itu popular dengan kualiti tanpa sebarang gimik,” katanya.

Melihat penerimaan peminat terhadap Ara selepas menyertai program Akademi Fantasia 2016, dia dilihat antara bintang yang menyerlah berbanding juara pertandingan itu serta bintang lain yang menyertai program terbabit pada musim berkenaan

Ara berkata, dia bersyukur dengan apa yang dikecapi hasil usaha kerasnya selama ini.

“Apa yang dikecapi ini adalah rezeki Tuhan dan setiap orang rezeki mereka berbeza-beza. Saya selalu berdoa supaya mereka juga turut berjaya, tapi mungkin sekarang ini masa saya.

“Saya selalu percaya, saya tidak akan selama-lamanya berada di atas. Mungkin selepas ini rezeki rakan yang lain. Namun, ada juga rakan yang berjaya dalam liga yang berbeza apabila ada yang menjadi pelakon,” katanya yang akan menghasilkan single dalam masa terdekat ini.

Disiarkan pada: September 5, 2018 @ 9:17am
d