utama

Gergaji leher sendiri

Oleh Agensi

Moscow: Seorang remaja lelaki seperti hilang akal apabila dilaporkan membunuh diri kelmarin, memancung kepalanya menggunakan gergaji rantai semata-mata kecewa kalah dalam permainan video.

Pavel Matveev, 15, yang tinggal di kampung Mogochino di wilayah Tomsk, Russia dilaporkan mula ketagih bermain permainan video selepas ibunya membeli komputer beberapa bulan lalu.

Sumber memberitahu stesen televisyen Plohie Novosti, remaja itu membunuh diri selepas bermain satu permainan komputer.

“Itu yang membunuhnya. Dia menghabiskan masa berjam-jam di komputer dan bertindak membunuh diri selepas bermain satu permainan,” kata sumber berkenaan.

Menurut laporan media, remaja itu yang kecewa pergi ke halaman rumahnya dan menghidupkan gergaji rantai sebelum memotong kepalanya sendiri.

Bagaimanapun, laporan itu tidak memberitahu permainan video apa yang dimainkan remaja berkenaan sehingga menyebabkan dia membunuh diri.

Sementara itu, polis memberitahu, pihak berkuasa menyiasat kejadian itu sebagai kes jenayah.

Sebelum ini terdapat beberapa kes bunuh diri di Russia yang membabitkan kanak-kanak dan remaja selepas bermain satu permainan di media sosial tetapi tidak dapat dipastikan kejadian terbaru ini mempunyai kaitan dengan permainan berkenaan.

Satu permainan di media sosial yang dikenali sebagai Blue Whale dilaporkan menghasut pemain untuk melengkapkan sejumlah tugasan dan ada yang terlalu bahaya hingga menyebabkan pemainnya mati.

Disiarkan pada: September 6, 2018 @ 9:33am
d