utama

'Pulangkan Hayyan Ariqin'

Oleh Mohamed Farid Noh

Batu Pahat: Seorang ibu buntu apabila anak lelaki tunggal berusia setahun 10 bulan dilarikan bekas suami sejak lebih setahun lalu menghilangkan diri tanpa khabar berita.

Rintihan hati dan kerinduan Siti Da Arafah Minal, 29, terhadap anaknya, Hayyan Ariqin Mohd Hatta, tular di media sosial sejak Isnin lalu apabila netizen berkongsi coretan pilunya di laman Facebook - Return Hayyan Ariqin.

Siti Da Arafah dikatakan membuat lebih 16 laporan polis di Batu Pahat dan Kempas di Johor, selain di Bangi, Selangor dan Senawang, Negeri Sembilan.

Malah, mahkamah juga mengeluarkan lima waran tangkap dan dua waran geledah terhadap bekas suami, tetapi sehingga kini tindakan tidak dijalankan.

Lebih memilukan, Siti Da Arafah yang juga seorang jurutera tidak pernah lupa membuat pelbagai persiapan untuk anaknya termasuk membeli pakaian raya serta kek hari lahir Hayyan Ariqin yang dilahirkan pada 4 Oktober 2016, walaupun anak kesayangannya tiada di sisi.

Siti Da Arafah berkata, Hayyan Ariqin yang menyusu badan sejak dilahirkan, hilang tanpa jejak sejak berusia sembilan bulan selepas dia menyerahkan anaknya untuk lawatan sementara bekas suaminya, Mohd Hatta Hussein.

Katanya, dia diberikan hak penjagaan sementara oleh mahkamah selepas berpisah secara hakam dengan bekas suaminya.

“Setiap hari saya menangis mengenangkan Hayyan Ariqin apatah lagi jika terpandang kanak-kanak sebayanya, hati sebak dan pilu kerana terlalu merinduinya.

“Lebih lagi Hayyan Ariqin hanya menyusu badan sejak lahir dan menolak susu formula, saya tidak dapat bayangkan bagaimana keadaannya sekarang.

“Saya merayu bekas suami dan keluarganya kasihanilah saya dan jangan zalimi Hayyan Ariqin yang memerlukan kasih sayang ibu.

“Hancur hati saya kerana kami tidak pernah berpisah sebelum ini, namun kini dia tiada lagi di sisi,” katanya.

Mengimbas kembali, Siti Da Arafah berkata, dia yang sebelum ini menetap di daerah ini sebelum berpisah menyerahkan Hayyan Ariqin untuk dilawati bekas suami di Bangi pada 29 Julai tahun lalu.

Katanya, Hayyan Ariqin sepatutnya dikembalikan bekas suaminya pada hari sama, namun anaknya tidak dipulangkan.

“Lima hari kemudian, saya ditemani keluarga dan polis menyusul ke rumah keluarga bekas suami di Taman Seri Kenangan, di Batu Pahat untuk mengambil Hayyan Ariqin.

“Namun, kami tidak dibenarkan masuk malah rayuan saya untuk menyusukan anak juga tidak diendahkan dan diminta datang bersama peguam jika mahu anak dikembalikan.

“Keesokan hari, saya, keluarga diiringi polis dan peguam datang semula namun bekas suami dan anak tiada di rumah berkenaan,” katanya.

Siti Da Arafah berkata, kali terakhir dia mengesan bekas suami serta anaknya berada di Senawang selepas dimaklumkan saudaranya Ogos tahun lalu.

“Namun saya serta keluarga yang diiringi polis terus dihalang bertemu Hayyan Ariqin walaupun nampak barang anak di dalam kereta bekas suami serta mendengar suara tangisan anak ketika kami tiba,” katanya.

Katanya, walaupun sedih dia tidak sesekali putus asa bagi mendapatkan semula anaknya, malah terharu dengan sokongan keluarga serta kenalan.

Disiarkan pada: September 6, 2018 @ 10:12am
d