utama

'Bersyukur apa yang ada'

Oleh Norhayati Nordin

Ketika kebanyakan artis lain sentiasa mencari kelainan untuk terus kekal, sebaliknya buat penyanyi dan pelakon jelita, Amy Mastura Suhaimi.

Anak jati Perak yang memahat bakatnya dalam bidang seni sejak awal 1990-an ini lebih selesa tenang, positif dan mengikut arus.

Sedar pasang surut dalam karier perkara sinonim buat artis meningkat usia dan berpengalaman sepertinya, Amy berkata, dia sangat bersyukur dengan apa dimiliki sekarang.

“Tidak ada apa yang perlu saya bimbangkan mengenai karier. Ada tawaran berlakon dan menyanyi, saya ambil, jika tiada duduklah di rumah.

“Apa yang nak dikejarkan lagi. Saya sangat bersyukur dengan semua nikmat yang Allah SWT beri kepada saya kini. Lagipun, saya ada suami dan anak yang perlu diuruskan keperluan mereka.

“Duduk di rumah pun, saya tetap ada tugas harian yang perlu dilakukan. Apatah lagi, dua anak saya iaitu Adriana, 17, dan Adalia, 14, masih bersekolah.

“Jadi, keutamaan kepada keluarga adalah tanggungjawab saya. Pada masa sama juga, karier seni tetap diteruskan bergantung kepada tawaran,” katanya.

Pelakon filem Puteri Impian ini berkata, dia juga tidak pernah bersikap terlalu ‘demand’ dalam meneruskan kelangsungan perjalanan karier seninya.

“Sama ada berlakon atau menyanyi, saya tidak begitu cerewet dan memilih. Bagi saya, masih mendapat tawaran itu yang lebih penting. Maknanya, tetap ada permintaan.

“Apatah lagi, industri hiburan tempatan tidak besar mana pun. Jadi, tidak perlu bersikap sombong atau iri hati dengan orang lain. Kita semua ada rezeki masing-masing,” katanya.

Lebih dua dekad menelusuri perjalanan seni dan banyak pencapaian sudah dimiliki, Amy berkata, dia juga lali dengan sepak terajang yang berlaku. Jadi, dia hanya ikut saja rentak yang muncul.

Mendapat sokongan penuh keluarga, wanita berusia 47 tahun ini berkata, suaminya Alvin Tham Suffian sentiasa mengizinkan pembabitannya.

“Sejak mula berumah tangga sampai sekarang, suami tidak pernah menghalang atau minta saya bersara. Saya diberi kebebasan dan kepercayaan membuat keputusan.

“Saya pun tidak pernah terfikir untuk meninggalkan bidang ini. Selagi ada peluang dan mendapat tawaran, saya akan terus aktif,” katanya.

Figura yang mudah mesra dan tidak lekang senyum ini berkata, apa yang diharapkan kini semoga semua peminatnya terus terhibur dengan lakonan dan nyanyian dipersembahkan.

Amy yang sejak dulu ‘bersih’ daripada sebarang gosip dan cerita sensasi berkata, dia yang memilih corak perjalanan kehidupan diinginkan.

“Memang saya lagi selesa mendapat perhatian media dan penyokong menerusi bakat. Ada produk, saya akan tampil untuk melakukan promosi dan publisiti.

“Jika tidak ada, saya jalani saja kehidupan seperti biasa. Sama ada selebriti atau orang biasa, tidak ada beza pun kerana saya adalah manusia yang boleh buat pilihan,” katanya.

Bakat Amy dalam seni dicungkil menerusi program Asia Bagus di Jepun pada 1993. Amy muncul juara dan setahun kemudian dia tampil dengan album solo pertama berjudul Amy Mastura.

Pertaruh single Warna Warni Dunia

Memiliki tujuh album studio, empat album kompilasi termasuk dua album runut bunyi (OST), nama Amy Mastura semestinya sudah berada dalam liga tersendiri.

Malah, Amy juga pernah merakamkan lima album video dan seiring perkembangan muzik masa kini, dia juga tampil menghasilkan kira-kira 30 single.

Terbaru, untuk 2018 ini Amy muncul dengan single berjudul Warna Warni Dunia hasil ciptaan bersama Malique dan Dedeq manakala lirik ditulis Kmy Kmo serta B-Heart.

Berbicara mengenai singlenya itu, Amy berkata, dia pertama kali bekerjasama dengan Malique yang juga bekas anggota Too Phat.

“Saya berbesar hati dengan kerjasama ini dan tak sangka juga Malique sudi menghasilkan lagu. Malah, menariknya lagi single Warna Warni Dunia turut disuntik elemen rap.

“Ia sesuatu yang baru buat saya. Ditambah, selama aktif menyanyi saya lebih cenderung dengan muzik pop. Berdebar juga untuk rakamkan single Warna Warni Cinta.

“Bagaimanapun, saya tetap puas hati dengan hasilnya. Walaupun disuntik elemen rap, selepas dirakamkan masih kekal air lagu Amy Mastura itu,” katanya.

Menurut Amy, Warna Warni Dunia tetap ‘catchy’ melodinya dan serasi dengan vokal.

Kini berada dalam fasa ‘jubli perak’ kariernya, Amy yang juga bekas pramugari pernah dikenali dengan lagu popular seperti Jawapan Kasih, Meniti Hari, Kasih, Diam Diam Rindu, Suria Khatulistiwa, Nada Rindu, Sha Na Na dan Lagu Happy.

Disiarkan pada: September 7, 2018 @ 9:08am
d