utama

Semuanya demimu suamiku... [METROTV]

Oleh Suraya Roslan

“SAYA sebenarnya tidak sangka suami menangis sebaik melihat motosikal berkenaan. Sebelum ini ada juga saya buat beberapa kejutan, namun tindak balasnya tidak seperti itu,” kata Nur Syakira Ahmad, 27, isteri kepada Muhammad Firdaus Md Yusof, 28.

Video berdurasi satu minit yang tular memaparkan Muhammad Firdaus terkejut lalu menangis sebaik diberitahu rakannya motosikal baru itu dihadiahkan oleh isterinya menjadi tular di media sosial dan ditonton lebih 90,000 pelayar.

Nur Syakira berkata, dia sudah lama menyimpan niat mahu mengantikan motosikal lama yang ditunggangi bersama suami kepada model lebih baik.

“Saya memikirkan keselamatan diri dan suami kerana motosikal menjadi pengangkutan utama untuk suami menghantar dan menjemput saya di tempat kerja di Bangsar untuk pulang ke rumah kami di Selayang.

“Jadi saya merancang bersama suami kepada pengasuh anak untuk membeli motosikal baru Honda RS150 dan diam-diam mengambil gambar lesen memandu dan kad pengenalan suami untuk urusan dokumentasi,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, dua hari kemudian iaitu 5 September lalu, dia diberitahu motosikal yang dibeli di sebuah kedai di Selayang boleh diambil suaminya.

“Saya berpakat dengan suami pengasuh anak dan mereka berdua ke kedai berkenaan kira-kira jam 6 petang.

“Suami pengasuh mengirimkan video berkenaan dan saya sebak apabila melihat suami menangis terharu sebelum memuat naik di laman sosial,” katanya.

Syakira yang bekerja sebagai pembantu pejabat di sebuah syarikat di Bangsar berkata, sebaik pulang suaminya ada bertanyakan hal itu dan dia memberitahu ia sebagai hadiah kerana sudah lama memasang niat.

“Suami sebenarnya memang bercadang untuk menukar motosikal lama yang dibeli pada 2013, tetapi mungkin memikirkan beberapa komitmen lain membuatkan niatnya terbantut.

“Sebagai isteri, tidak salah saya membantu suami dan menggunakan simpanan RM3,000 sebagai wang pendahuluan, malah saya juga akan menjelaskan bayaran bulanan berjumlah lebih RM300.

“Ini juga dapat meredakan kerisauan saya mengenai keselamatan dia ketika keluar bekerja. Saya faham kadang-kadang lelaki akan fikir isu ini remeh, asalkan motosikal boleh gerak tidak perlu menukarnya lagi, namun ia tidak dapat membendung kerisauan di hati saya,” katanya.

Disiarkan pada: September 7, 2018 @ 10:06pm
d