utama

Surah al-Fatihah tambahan mas kahwin [METROTV]

Oleh Amirul Haswendy Ashari

PENYANYI Nur Nadia Natasha Mohd Manshahar, 26, atau Tasha Manshahar, selamat bergelar isteri kepada penyampai radio, Fahrur Raqib Abdul Majid, 28, atau Raqib Majid, hari ini.

Pasangan itu diijabkabulkan oleh ayah Tasha sendiri, Mohd Manshahar Abdul Jalil, 59, dan disaksikan oleh bapa saudara Tasha, Mohd Hasnan Abdul Jalil, rakan bapanya, Mansor Saman dan ahli keluarga ke dua belah pasangan, 9.50 pagi tadi di Masjid Jamek Kajang.

Tasha yang popular dengan lagu Terima Kasih Cinta menerima mas kahwin RM300, sebentuk cincin, seutas gelang dan lima dulang hantaran berbalas tujuh dulang, manakala jumlah wang hantaran dirahsiakan.

Dalam pada itu, Raqib turut mengalunkan surah al-Fatihah sebagai tambahan kepada mas kahwin diterima Tasha.

"Kami belum merancang untuk berbulan madu kerana masing-masing terikat dengan kerja.

"Bagi saya berbulan madu bukan sesuatu kewajipan yang perlu dilaksanakan, asalkan ada masa kualiti bersama sudah dikira berbulan madu," kata Tasha.

Ditanya kelebihan yang ada pada Raqib yang membuatkannya terpikat, penyanyi itu akui suaminya mempunyai pendirian tegas dan pada masa yang sama ada lembutnya.

Katanya, Raqib juga mudah diajak berbincang dan caranya itu membuatkan dia yakin pada ciri-ciri suami yang dia mahukan.

Tasha yang kini memilih kerjaya guru turut mendedahkan mahu belajar mengenakan niqab selepas ini atas kehendak sendiri.

Katanya, untuk permulaan dia akan memakai niqab ketika keluar rumah kecuali pada waktu mengajar.

Pasangan ini mula berkenalan pada akhir 2016 selepas diperkenalkan oleh ibu Raqib ketika Tasha mengikuti pelajaran agama di Melaka.

Mereka bertunang secara tertutup di kediaman keluarga Tasha di sini pada 24 Disember tahun lalu.

Pasangan ini akan diraikan dalam majlis resepsi sebelah perempuan pada esok) di Shah Alam manakala majlis sebelah lelaki pula diadakan di Melaka pada 22 September ini.

Disiarkan pada: September 8, 2018 @ 11:09am
d