utama

'Pikul adik 400 meter'

Oleh Petah Wazzan Iskandar

“Saya terpaksa pikul adik yang kesakitan sejauh 400 meter dan merentasi anak sungai selepas dia dipijak gajah di dusun kami untuk mendapatkan bantuan,” kata Husin Osman, 53, abang kepada mangsa terpijak gajah, semalam.

Dalam kejadian 6.30 petang itu, Mat Juhid, 49, dari Kampung Hulu Padang Sanai Kanan, parah di bahagian kanan kepala dan tangan kanan selepas dipijak gajah liar ketika dalam perjalanan pulang bersama abangnya, Husin.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia selepas Husin membawanya ke Hospital Kuala Nerang, dekat Padang Terap, bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

Menceritakan kembali kejadian itu, Husin berkata, dia dan arwah dalam perjalanan pulang selepas selesai berkebun dan menguruskan pokok dokong yang tumbang akibat gangguan gajah.

“Sedang kami bersiap, secara tiba-tiba seekor gajah muncul dari bahagian tanah tinggi pada jarak 30 meter sebelum gajah terbabit yang terkejut cuba melarikan diri ke arah hutan tetapi dalam masa sama, arwah berada di laluannya.

“Saya berjaya melarikan diri ke kanan tetapi adik yang tidak sempat melarikan diri, gagal mengambil senapang yang diletak di tanah, sebelum dia terjatuh dan dipijak gajah terbabit yang kemudiannya hilang dalam hutan berhampiran.

“Arwah menjerit kesakitan sebelum saya memikulnya sejauh 400 meter dan merentasi anak sungai. Selepas itu, saya membaringkan arwah di kain rentang di bawah pokok rambutan di tepi jalan tanah merah untuk mengambil kereta di rumah yang terletak sejauh kira-kira lima kilometer dengan menunggang motosikal saya,” katanya yang ditemui di rumah arwah di Kampung Ulu, Padang Sanai, hari ini.

Semalam, NSTP melaporkan pemilik dusun, Mat Juhid maut akibat parah di muka selepas dipijak gajah selepas berkebun.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Superintendan Noh Idris, memaklumkan kes mangsa diklasifikasi sebagai kematian mengejut dan perkara terbabit sudah dimaklumkan kepada Jabatan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kedah untuk mengesan sama ada gajah terbabit masih berada sekitar kawasan dusun mangsa atau tidak.

Husin berkata, arwah yang mempunyai empat anak dan seorang isteri sempat memberitahu dia akan tunggu kereta sampai untuk dibawa ke hospital.

Katanya, arwah meminta dia supaya tidak risau kerana tiada apa yang bahaya berikutan setakat patah tangan kanan dan luka di muka kanan.

“Apabila kembali, saya baringkan arwah di tempat duduk belakang dan terus memecut di Jalan Pedu-Kuala Nerang untuk ke Hospital Kuala Nerang. Namun ketika itu, arwah hanya mengadu sakit sebelum saya mendengar beberapa kali hembusan nafas arwah.

“Saya cuba melihat keadaan arwah tetapi disebabkan saya sedang memandu kereta dengan laju, Saya tahan diri kerana tidak mahu apa-apa kejadian yang berlaku namun arwah tiba-tiba senyap.

“Ketika di hospital, doktor memaklumkan adik sudah meninggal dunia dan jenazah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat sebelum dibenarkan dibawa pulang petang ini. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Ulu, Padang Sanai,” katanya.

b>Berita berkaitan:

Gajah terpijak, bukan serang

Pekebun maut dihenyak gajah

Disiarkan pada: September 8, 2018 @ 4:25pm
d