utama

Doktor bimbang

Oleh Faris Fuad

Kuala Lumpur: Insiden seorang lelaki membakar bilik doktor sebuah hospital swasta di Georgetown, Pulau Pinang, pada 3 September lalu menimbulkan keresahan terhadap tahap keselamatan dalam kalangan pengamal perubatan.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Mohamed Namazie Ibrahim berkata, ia juga dikhuatiri ‘mendera’ pengamal perubatan berkenaan secara psikologi dan lisan.

Katanya, kes itu yang tular di media sosial mengundang persepsi kononnya pekerja di hospital tidak peka terhadap keadaan pesakit mereka.

“Walaupun sentiasa mengeluarkan peringatan dan notis kepada orang awam mengenai ‘penderaan’ terhadap pengamal perubatan, masih ada segelintir pihak yang menyalahkan hospitalt.

“MMA menggesa pihak berkuasa menyiasat kes itu dan mengenakan hukuman setimpal kepada pihak didapati bersalah. Ia akan menjadi peringatan kepada orang ramai agar tidak mengambil kesempatan terhadap pengamal perubatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Dr Mohamed Namazie berkata, pihaknya memandang serius masalah mental yang boleh menggugat keselamatan awam.

“Yang menjadi mangsa adalah masyarakat setempat. Namun, dalam kes ini, kita menyentuh isu membabitkan kakitangan dan pesakit lain di hospital.

“Mereka yang berpenyakit mental wajar dirujuk kepada golongan profesional termasuk pakar psikiatri.

“Jika dihantar ke hospital dulu, dikhuatiri mereka tidak dapat mengawal diri dan membuat kecoh hingga mencederakan orang lain,” katanya.

Dalam kejadian jam 4.30 petang, suasana di sebuah hospital swasta di Georgetown kecoh apabila seorang lelaki secara tiba-tiba membakar bilik doktor.

Lelaki terbabit masuk ke bilik berkenaan membawa petrol sebelum mencurah dan menyalakan api.

Ketika itu, doktor dan dua pembantunya berada dalam bilik berkenaan menyebabkan mereka turut melecur di beberapa bahagian badan.

Disiarkan pada: September 9, 2018 @ 5:50am
d