utama

'Alhamdulillah, Allah berikan rezeki ini'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

“SAYA mahu tutup ‘kedai’ dulu,” kata penyanyi Adira yang selamat bersalin anak lelaki seberat 3.8 kilogram (kg) secara pembedahan, 10.21 pagi, hari ini.

Adira, 27, atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi berkata selepas ini dia mahu fokus membesarkan dua anak selain kembali aktif menyanyi.

Menurut Adira, ketika disahkan hamil anak kedua, anak sulungnya Anggrek belum berusia setahun.

“Saya menganggap ini rezeki. Namun, disebabkan saya sudah dua kali bersalin secara pembedahan sebaiknya berehat dahulu. Lagi pula, anak sulung masih kecil dan sudah dapat adik.

“Insya-Allah, kalau nak tambah anak lagi mungkin tiga tahun lagi. Macam sebelum ini, saya pernah berhasrat menambah bilangan cahaya mata sebelum berusia 30 tahun. Alhamdulillah, Allah berikan rezeki ini,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Adira, proses bersalin anak kedua yang diberi nama Asan itu dipermudahkan meskipun terpaksa menjalani pembedahan.

“Sewaktu disahkan hamil anak kedua, kalau boleh saya nak bersalin normal. Sebab masa anak pertama saya menjalani pembedahan.

“Namun, pagi tadi atas sebab tertentu saya terpaksa dibedah. Atas nasihat doktor, saya ikut saja yang terbaik. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar,” katanya.

Adira berkata, dia akan berpantang di rumahnya di Sungai Buloh dengan dibantu ibunya.

Adira dan suami, Datuk Seri Adnan Abu berkahwin di Songkhla, Thailand pada November 2015. Penyanyi itu adalah sebagai isteri kedua.

Berita berkaitan

Assan awal seminggu

Disiarkan pada: September 9, 2018 @ 6:42pm
d