utama

Sah ubat tidur

Oleh Mohd Hilmie Hussin

SAH ubat tidur! Demikian menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkaitan kes pasangan warga emas disamun di Kampung Pernu, Melaka, Khamis lalu.

Beliau berkata, mangsa, Alias Simin, 67, dibenarkan pulang semalam, manakala isterinya, Mariam Mahmud, 66, yang ditahan di Zon Kuning Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka untuk pemantauan rapi, dibenar pulang hari ini.

"Kita sudah memperoleh hasil ujian air kencing kedua-dua mangsa dan pihak hospital mendapati mangsa dipaksa menelan sejenis pil tidur," kata Afzanizar, ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Begitupun, sehingga kini, Afzanizar mengesahkan belum ada tangkapan dibuat berkaitan kes terbabit.

Pada 6.50 petang Khamis lalu, pasangan warga emas itu disamun dipercayai oleh dua lelaki yang menyamar sebagai pelanggan yang berurusan sewaan inap desa.

Kedua-dua mangsa disamun wang tunai, telefon bimbit dan barang kemas yang kesemua kerugian itu dianggarkan RM23,000.

Selain disamun, Mariam dipukul hingga berdarah pada tulang hidung dan lebam muka kanan, manakala Alias pula dipaut leher dan diacu pisau pemotong sayur.

Suspek kemudian mengikat kedua-dua mangsa menggunakan kabel pengecaj telefon bimbit dan memaksa kedua-duanya menelan enam biji pil yang dipercayai pil tidur, sebelum kejadian disedari anak saudara mangsa yang kemudian menghubungi talian kecemasan.

Berita berkaitan:

Tak tahu lagi pil apa

Disiarkan pada: September 10, 2018 @ 4:56pm
d