utama

Bekas pegawai Azis ditahan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

POLIS menahan bekas pegawai kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman, di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur, 1 tengah hari ini selepas lelaki itu disyaki merakam bahagian bawah skirt pekerja wanita menggunakan telefon bimbit, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy berkata, lelaki berusia 47 tahun itu ditahan di restoran di lokasi berkenaan.

"Lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan kes terbabit yang disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil (Akta 336).

"Permohonan reman terhadap lelaki itu dijangka dibuat esok," katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, petugas wanita di kedai cermin mata di Solaris Dutamas, membuat laporan di Balai Polis Damansara, Petaling Jaya, selepas menyedari seorang lelaki merakam video bahagian bawah skirtnya, kira-kira 11 pagi, kelmarin.

Malah, video perbuatan keji lelaki itu yang berdurasi 1 minit 46 saat turut dimuat naik di laman sosial Facebook.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Khee memaklumkan insiden itu berlaku ketika dia sedang membuat pemeriksaan mata timbalan menteri berkenaan sebelum menyedari tindakan lelaki terbabit mengubah kedudukan kerusi dan duduk rapat menghamipirinya di bahagian belakang sambil memegang telefon bimbit.

Pemeriksaan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan mendapati lelaki itu merakam bahagian dari bawah skirt wanita terbabit.

Berita berkaitan:

Polis buka kertas siasatan

Azis pecat pegawai 'skodeng' skirt wanita

Disiarkan pada: September 10, 2018 @ 5:05pm
d